Home » Langit Terbuka » Tahap mental cetus persoalan?

Tahap mental cetus persoalan?

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Foto : nyt.com

Presiden AS turut selar buku burukkan dirinya

WASHINGTON 5 Jan. – Media Amerika Syarikat (AS) mendedahkan sekurang-kurangnya 12 anggota Kongres kebanyakannya dari parti Demokrat telah diberi taklimat tentang masalah kesihatan mental Presiden Donald Trump daripada seorang profesor psikiatri Universiti Yale.

Taklimat itu dikendali oleh Prof. Dr. Bandy Lee yang juga penyunting buku bertajuk The Dangerous Case of Donald Trump: 27 Psychiatrists and Mental Health Experts Assess a President pada 5 dan 6 Disember lalu.

“Ahli Parlimen memberitahu mereka amat bimbang dengan bahaya ketidakstabilan mental Trump terhadap negara,” katanya kepada stesen televisyen CNN.

Menurut Lee, ahli Parlimen dalam kalangan anggota Demokrat bimbang dengan ke­adaan Trump namun mereka menegaskan perkara itu terpulang kepada parti Republikan.

“Keadaan Trump akan bertambah teruk dan sukar dibendung ekoran tekanan daripada jawatannya,” kata Lee kepada Politico.

Taklimat tersebut dihadiri oleh anggota Demokrat dan seorang anggota Republikan yang enggan didedahkan namanya.

Namun begitu, penilaian secara terbuka oleh pakar psikiatri itu terhadap kesihatan mental Trump bertentangan dengan ‘Peraturan Goldwater’ Pertubuhan Psikiatri Amerika.

Peraturan berkenaan me­ne­gaskan, anggota pertubuhan tidak boleh memberi sebarang pendapat profesional tentang keadaan mental seseorang tanpa menilai secara peribadi.

Jurucakap White House, Saran Sanders pula menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai ‘tidak bermaruah dan jenaka’.

“Jika Trump tidak sihat, beliau tidak akan memegang jawatan Presiden dan menewaskan calon-calon yang berkelayakan,” katanya.

Sementara itu, seramai 57 anggota Demokrat di Dewan Perwa­kilan mencadangkan rang undang-undang penubuhan su­ruhanjaya bagi menentukan sama ada Trump secara mental atau fizikal gagal melaksanakan tugasnya.

Sementara itu, Trump menyelar penjualan buku bertajuk Fire and Fury: Inside the Trump White House yang disifatkan ‘penuh dengan penipuan’ dan telah berada di pasaran hari ini iaitu empat hari lebih awal daripada tarikh sebenar penjualan.

Ancaman pemimpin itu untuk mengambil tindakan undang-undang gagal menyekat buku yang ditulis oleh penulis politik, Michael Wolff daripada dijual.

Buku berkenaan mengan­dungi petikan kata-kata daripada pembantu-pembantu Trump an­taranya kebimbangan mereka terhadap tahap kesihatan ketua mereka untuk terus menerajui negara.

Menerusi Twitter bilionair itu memberitahu: “Saya tidak pernah memberikan penulis ini akses (maklumat) White House, Saya tidak pernah bercakap dengannya bagi (penerbitan) buku ini. Apa penulis itu katakan ‘adalah penuh dengan penipuan, salah tafsir dan daripada sumber yang tidak wujud.”

“Lihat latar belakang penulis ini dan apa yang berlaku kepadanya dan Sloppy Steve,” yang kemungkinan merujuk kepada bekas Ketua Strategis Trump, Steve Bannon atau Steve Rubin yang juga penerbit buku berkenaan.

Buku yang mendapat surat supaya dihentikan penerbitan dan pemasarannya dari pihak peguam Trump memaparkan bahawa Presiden AS itu tidak stabil dari segi mental dengan turut memuatkan petikan kata-kata Bannon.

Trump sebelum ini menuduh Bannon yang dipecat pada bulan Ogos lalu, sudah ‘kehilangan akal’ selepas tidak lagi memegang jawatan di White House. – AFP

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *