Home » Wacana » Talak hanya tiga kali

Talak hanya tiga kali

Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah Mufti Wilayah Persekutuan

Firman Allah: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah: 228).

Penjelasan ayat: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”

Pengertian biasa yang dimaksudkan daripada ungkapan ini ialah supaya perempuan-perempuan itu menunggu tanpa kahwin sehingga habis tiga kali haid atau bayangan yang lain di samping makna biasa itu. Ia membayangkan wujudnya kegemaran dan keinginan yang kuat untuk mendirikan rumahtangga yang baru, iaitu keinginan jiwa yang menyeru mereka supaya menunggu dengan sabar serta bersikap waspada dan berhati-hati yang menyertai gambaran menunggu itu.

Ini adalah satu keadaan yang tabie kerana keinginan perempuan membuktikan kepada diri dan orang lain bahawa walaupun dia gagal tetapi masih berupaya menarik lelaki lain bagi membina sebuah kehidupan baru. Dorongan seperti ini tentulah tidak terdapat di dalam jiwa lelaki kerana dia yang menggugurkan talak, sedangkan dorongan ini kuat pada jiwa perempuan kerana dialah pihak yang digugurkan talak ke atasnya.

Memberi perhatian

Demikianlah al-Quran menggambarkan keadaan jiwa dari celah-celah kata pengungkapan dan memberi perhatian dan perhitungannya kepada keadaan ini.

Perkataan al-quru’ ialah kata nama yang membawa erti haid atau suci. Tetapi yang dimaksudkan ialah salah satu sahaja. Justeru, apabila seorang perempuan telah melalui tiga kali quru’ yang bermaksud suci atau haid maka genaplah idahnya.

Sesuatu hukum berkait dengan nama yang awal.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiga kali quru’.”  Allah SWT menyebutkan perkataan quru’ dengan lafaz muzakkar dan menyebutkan huruf ha (ta’ marbutah) pada perkataan bilangan tiga. Ini menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan quru’ ialah Tahur yang dibaca dengan lafaz muzakkar.

Bagi kami dan sahabat Abu Hanifah, perintah yang mutlak dalam al-Quran bermaksud perlu dilaksanakan segera. Hal itu tidak boleh terjadi kecuali mengikut pendapat kami bahawa quru’ itu bermaksud suci. Hal ini kerana talak hanya boleh dijatuhkan ketika suci, bukannya ketika haid.

Firman Allah: “Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka.”

Ibn al-Arabi berkata: Ada tiga pendapat tentang ayat ini:

  • Menyembunyikan tentang haid.
  • Menyembunyikan tentang kandungan.
  • Kedua-duanya sekali dan inilah pendapat yang sahih.

Firman Allah: “Jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.”

Ibn al-Arabi berkata: “Ayat ini merupakan satu ancaman yang besar untuk menegaskan haram menyembunyikan maklumat tentang rahim dan wajib menunaikan amanah dengan memberitahu keadaan sebenar rahimnya.”

Firman Allah: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”

Ibn al-Arabi berkata: “Jika suaminya bertujuan untuk rujuk bagi memperbaiki hubungannya bersama isterinya, serta menghilangkan keburukan antara mereka berdua, bukan dengan tujuan untuk menimbulkan kemudaratan atau menahan isteri agar tidak terlepas daripada ikatan perkahwinan. Jika itu tujuannya, maka ia adalah perbuatan yang dihalalkan tetapi tidak jika sebaliknya.”

Akan tetapi, oleh sebab tujuan ini adalah perkara batin, maka Allah SWT menjadikan tandanya iaitu tiga kali talak. Kalau kita benar-benar memahami tujuan itu tentulah kita akan melaksanakan perceraian berdasarkan tujuan tersebut.

Firman Allah: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak).”

Ibn al-Arabi berkata: “Iaitu tujuan untuk berdamai dan bergaul semula melalui perkahwinan. Ertinya, oleh sebab para suami mempunyai hak yang mesti dilaksanakan oleh suami iaitu bergaul dengan cara yang baik sebagaimana disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat yang lain.”

Firman Allah: “Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).”

Ibn al-Arabi berkata: “Para ulama kami berselisih pendapat tentang maksud darjat ini. Dikatakan, ia bermaksud mewarisi harta pusaka. Dikatakan, ia bermaksud jihad. Dikatakan juga ia bermaksud janggut. Sungguh beruntung orang yang tidak membicarakan apa-apa yang tidak diketahuinya lebih-lebih lagi tentang kitab Allah Yang Maha Besar.”

Kelebihan

Memang mereka yang berfikiran, menyedari bahawa orang lelaki ada kelebihannya ke atas perempuan. Setidak-tidaknya orang perempuan diciptakan daripada orang lelaki yang merupakan asalnya. Akan tetapi, ayat ini bukan bermaksud menerangkan kelebihan darjat secara mutlak sehingga boleh ditafsirkan dengan aneka macam kelebihan orang lelaki terhadap perempuan.

Justeru, tentulah ia membawa erti hak yang perlu ditunaikan oleh wanita dalam pernikahan. Lalu, kami dapati hak-hak tersebut ada tujuh iaitu:

  • Mereka wajib taat kepada suami, yang merupakan hak yang umum.
  • Hal melayani suami, iaitu hak khusus. Tentang hak ini ada huraiannya dalam Masail al-Furu’.
  • Mereka tidak boleh melakukan sebarang pengurusan dengan sesuka hati kecuali dengan izin suami.
  • Mereka mesti mendahului ketaatan kepada suami daripada ketaatan kepada Allah SWT pada perkara-perkara yang disunatkan. Oleh itu, mereka tidak boleh berpuasa sunat kecuali dengan izin suami dan tidak boleh menunaikan haji kecuali bersama suami.
  • Mereka diberikan mas kahwin.
  • Mereka diberikan nafkah.
  • Suami boleh memberi pengadaban kepada isteri.

Firman Allah: “Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Ini menggambarkan betapa kuasa Tuhan dan hikmah-Nya tiada bandingan dan tandingan. Gabungan di antara kekuasaan-Nya dan hikmah-Nya sebagai petanda kesempurnaan yang mutlak.

Iktibar ayat

  1. Hukum talak hendaklah menunggu sehingga bersuci tiga kali suci bagi isteri yang ditalak sebelum diizinkan berkahwin dengan lelaki pilihannya.
  2. Hak rujuk kepada suami selama mana di dalam idah.
  3. Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *