Home » Persuasif » Tamak, rasuah dan anak yatim

Tamak, rasuah dan anak yatim

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

LEBIH 1,400 tahun lalu Nabi Muhammad SAW telah memberikan satu peringatan tentang satu fitnah yang bakal menimpa umat baginda. Ternyata apa yang amat dikhuatiri oleh Rasulullah itu benar-benar berlaku hari ini.

Fitnah yang dimaksudkan oleh baginda adalah berkaitan ujian kemewahan harta. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bagi setiap umat terdapat fitnah (kesesatan dan maksiat) dan fitnah terhadap umatku adalah pada harta.”

Hakikatnya, inilah yang berlaku sekarang. Disebabkan harta, manusia menjadi tamak dan rakus sehingga sanggup melakukan kerja-kerja haram seperti rasuah, merompak, makan harta anak yatim, menipu dan mengamalkan riba.

Sesungguhnya Islam tidak pernah melarang seorang itu menjadi kaya tetapi dengan syarat setiap harta yang dikumpulkan datang daripada sumber yang halal. Malah terdapat beberapa sahabat Rasulullah dikategorikan kaya-raya seperti Uthman al-Affan, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqas dan Zubair al-Awam.

Bahkan Khalifah Islam pertama, Saidina Abu Bakar as-Siddiq dikhabarkan seorang yang kaya namun segala harta­nya disumbangkan untuk menegakkan syiar Islam. Harta yang dimiliki langsung tidak menggugat iman para sahabat sebaliknya segala kurniaan itu digunakan untuk ke jalan Allah.

Begitu juga dengan para ulama terkemudian seperti Imam Abu Hanifah. Beliau juga seorang yang kaya-raya hasil perniagaan tekstil yang dimilikinya. Namun kekayaan dan kesibukannya menguruskan perniagaan tidak sedikit pun melalaikan Imam Abu Hanifah daripada tanggungjawabnya menegakkan kalimah Allah. Malah sebahagian besar kekayaannya juga digunakan untuk menegakkan syiar Islam.

Keadaan itu jauh berbeza dengan zaman kita sekarang. Lihat sahaja berita yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 5 Oktober lalu, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas sejumlah RM52 juta wang tunai dipercayai hasil aktiviti rasuah melibatkan projek infrastruktur di Sabah.

Begitu juga dengan kes beberapa pegawai dan anggota imigresen yang sanggup menerima upah dari RM200 hingga RM2,500 untuk memudahkan urusan keluar ma­suk warga asing ke negara ini.

Itu belum lagi dikira kes-kes rasuah yang pernah berlaku sebelum ini yang ada antaranya masih dalam proses perbicaraan dan ada juga yang telah dijatuhkan hukuman kerana sabit kesalahan.

Persoalannya, mengapa keadaan itu boleh berlaku? Mengapa masalah rasuah tidak pernah selesai hingga ke hari ini khususnya dalam kalangan penjawat awam? Yang pasti, semuanya berpunca daripada sifat tamak dan tidak pernah puas dengan apa yang ada. Mereka yang terbabit langsung tiada sifat qanaah (rasa cukup) dalam hidup.

Oleh itu, tidak hairanlah terdapat segelintir penjawat awam terdorong melakukan rasuah dan salah guna kuasa demi mengejar harta walaupun jelas perbuatan itu haram. Rasulullah SAW pernah bersabda:“Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka.”

Paling dikesalkan kerajaan sebelum ini telah mengumumkan beberapa langkah penambahbaikan dalam sektor awam termasuk gaji dan semakan semula gred namun usaha itu nampaknya tidak memadai buat mereka yang terlibat.

Tidak terkecuali kepada semua penjaga dan pemegang amanah anak-anak yatim. Awas! Tanggungjawab yang dipikul amat berat dan jangan sewenang-wenangnya kita mengambil harta anak yatim tanpa hak kerana kesannya amat buruk dan balasannya di akhirat amat berat.

Setiap sen harta anak yatim yang diambil secara zalim (tanpa hak) akan dipersoalkan satu persatu ketika berhadap­an dengan pengadilan Allah SWT di Padang Mahsyar kelak.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat ke 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka, dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” – https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *