Home » Langit Terbuka » Tambah baik STAM: KPM, Al-Azhar Al-Sharif dalam peringkat akhir muktamad pindaan perjanjian – Radzi

Tambah baik STAM: KPM, Al-Azhar Al-Sharif dalam peringkat akhir muktamad pindaan perjanjian – Radzi

Pelajar lepasan STAM boleh menggunakan sijil tersebut untuk memohon masuk ke Universiti Al-Azhar dan institusi pengajian tinggi di negara ini dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab. - Foto Arkib

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Al-Azhar Al-Sharif, Mesir sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan pindaan terhadap perjanjian sedia ada sebagai usaha menambah baik pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata pindaan itu bertujuan untuk memastikan lepasan STAM adalah dalam kalangan mereka yang berkualiti tinggi dan berupaya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.

“KPM dan Al-Azhar Al-Sharif telah memeterai Memorandum Persefahaman Akademik dan Kebudayaan pada 18 Nov 1999 sebagai usaha menambah baik urusan kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti Al-Azhar.

“Menerusi perjanjian tersebut, KPM bertanggungjawab untuk mengendalikan peperiksaan STAM dengan kerjasama pihak Al-Azhar Al-Sharif. Sijil tinggi agama tersebut telah diselaraskan mengikut kurikulum Maahad Bu`uth Islamiyyah yang dibangunkan oleh Al-Azhar sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Iftar Ramadan sempena Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia dan Ulang Tahun Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) ke-10 di sini semalam yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad dan Presiden WOAG Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.

Radzi berkata menerusi perjanjian berkenaan juga, lepasan STAM boleh menggunakan sijil tersebut untuk memohon masuk ke Universiti Al-Azhar dan institusi pengajian tinggi di negara ini dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Beliau berkata bagi tempoh 2000 hingga 2020, jumlah calon yang telah menduduki STAM adalah seramai 125,600 orang.

Dalam pada itu, beliau berkata alumni Al-Azhar di Malaysia telah membawa perubahan kepada sistem pendidikan Islam di negara ini termasuk memperkenalkan kurikulum Azhari yang dilaksanakan secara meluas di sekolah agama negeri dan sekolah agama persendirian.

“Bagi tujuan penyelarasan kurikulum, KPM telah berkerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk menyelaras kurikulum Azhari bagi setiap negeri dan membangunkan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) sebagai kurikulum kebangsaan bermula dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

“Penyelarasan ini melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berstruktur bagi melahirkan murid yang seimbang dan cemerlang dalam bidang akademik dan agama. Keseimbangan ini dapat menyediakan generasi ulama pelapis dan cendekiawan Islam yang mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya. – AstroAwani

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *