Home » Langit Terbuka » Tempoh menunggu giliran haji dijangka lebih singkat menjelang 2030

Tempoh menunggu giliran haji dijangka lebih singkat menjelang 2030

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tempoh menunggu giliran menunaikan ibadah haji dijangka dapat disingkatkan selari usaha kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah jemaah kepada lima juta orang menjelang 2030.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha itu dilakukan kerajaan Arab Saudi di bawah perancangan ekonomi Visi 2030.

“Apa pun usaha untuk memendekkan tempoh menunggu menunaikan haji, ia tidak boleh lari daripada keputusan pihak Kerajaan Arab Saudi meluluskan kuota haji tahunan untuk setiap negara termasuk Malaysia.

“Pada masa yang sama, kerajaan Arab Saudi di bawah perancangan ekonomi Visi 2030 sedang merancang untuk meningkatkan jumlah jemaah haji kepada lima juta orang menjelang 2030,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Sebagai rekod, kuota rasmi jemaah haji Malaysia 1445H/2024 telah ditetapkan seramai 31,600 orang jemaah.

Sementara itu, Zulkifli memaklumkan kerajaan telah membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah kuota jemaah berdasarkan perangkaan penduduk terkini negara.

“Kerajaan turut memohon kuota tambahan setiap tahun, namun permohonan kajian semula kuota tahunan dan pemberian kuota tambahan tertakluk kepada keputusan Kerajaan Arab Saudi,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang lain, Tabung Haji (TH) akan mengutamakan rayuan jemaah haji yang belum pernah menunaikan haji jika terdapat kekosongan disebabkan bakal haji yang menolak tawaran giliran yang diterimanya.

“Dalam keadaan tertentu, jika ada kekosongan disebabkan ada bakal haji yang tiba giliran tapi telah tolak tawaran, maka TH akan pertimbangkan untuk beri tempat tunai haji kepada bakal haji rayuan terutama rayuan mahram dan rayuan warga emas.

“Namun keutamaan pertimbangan rayuan mengambil kira juga mereka yang belum pernah tunaikan fardu haji,” katanya.—AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *