Home » Langit Terbuka » Temui semula sinar

Temui semula sinar

Program pengisian rohani sebegini adalah untuk memantapkan diri dan rasa terharu serta mahu menangis kerana masih ada orang lain yang sayang pada golongan seperti mereka. - Foto Harian Metro

SERAMAI 35 individu yang pernah terjebak dengan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengambil peluang menyertai Program Hijrah Komuniti

‘Training of Trainer’

(TOT) yang diadakan di Kem White Resort, Balik Pulau, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Program siri ketiga berkenaan dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Pemangku Pengarah JHEAIPP Mohd Hanif Omar @ Wahab berkata, objektif program berkenaan adalah bagi membimbing peserta supaya menjadi ‘duta’ dalam kalangan mereka selain menarik lebih ramai rakan bagi menyertai program seumpamanya.

Katanya, program berkenaan sudah lama dirancang namun tergendala berikutan pandemik Covid-19.

“Sudah lima tahun JAKIM menjalankan program sebegini, jadi sudah tentu kita dapat ambil pengalaman mereka dalam membantu JHEAIPP bagi menyantuni golongan ini.

“Setiap duta yang terpilih dalam program ini akan mencari tiga lagi rakan LGBT yang mahu berhijrah dan sehingga seterusnya,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Hanif berkata, peserta yang terbabit berusia antara 30-an hingga 59 tahun dan menyertai program itu secara sukarela.

Kebanyakan peserta adalah dari luar Pulau Pinang seperti Melaka, Johor dan Pahang.

“Mereka ini adalah yang pernah terjebak dengan aktiviti tidak bermoral dan kini sudah banyak menunjukkan perubahan dalam penghijrahan.

“Pada masa akan datang, kita merancang bagi menganjurkan program ini pada skala lebih besar iaitu di luar Pulau Pinang atau peringkat wilayah utara,” katanya lagi.

Sementara itu peserta, Rohaizad Abdul, 54, berkata, dia sudah enam tahun meninggalkan ‘lorong gelap’ dan memilih bagi berhijrah.

Katanya, kekerapan menyertai program keagamaan dan kerohanian menyebabkan dia tertarik mewujudkan pertubuhan sendiri bagi membantu rakan senasib yang ingin kembali kepada fitrah.

“Ada yang dulu pernah sama-sama di lorong, apabila jumpa semula di sini, masing-masing ketawa namun masih mahu dan berdoa supaya dapat berhijrah sepenuhnya.

“Program sebegini adalah untuk memantapkan diri dan rasa terharu serta mahu menangis kerana masih ada orang lain yang sayang pada kita,” katanya yang datang dari Klang, Selangor.

Manakala Suhaimi Ishak, 43 dari Permatang Pauh pula berkata, menyertai program seumpamanya menjadikan dia lebih berkeyakinan tidak mahu kembali menjadi maknyah.

“Saya terkilan kerana ayah tidak dapat melihat perubahan ini dan ibu amat gembira serta memberi sokongan supaya saya sertai apa jua program keagamaan dan kerohanian yang dianjurkan sehinggakan hendak ke sini pun, ibu tetap titipkan wang RM100 sebagai belanja,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *