Home » Langit Terbuka » Tiada cadangan SOP khusus solat tarawih

Tiada cadangan SOP khusus solat tarawih

SOP ditentukan Kementerian Kesihatan perlu sentiasa dipatuhi dan setakat ini, tiada (SOP) khusus untuk solat terawih - Foto Arkib

Putrajaya – Kerajaan tidak bercadang mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi pelaksanaan solat terawih di masjid serta surau sempena Ramadan tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata SOP sedia ada berkaitan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau adalah terpakai bagi pelaksanaan solat terawih.

“Sekarang (pelaksanaan ibadah) masih berjalan mengikut SOP sedia ada, tidak kira sewaktu solat atau berada di kedai makan.

“SOP ditentukan Kementerian Kesihatan perlu sentiasa dipatuhi dan setakat ini, tiada (SOP) khusus untuk solat terawih,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Antara SOP pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau pada masa ini adalah semua ahli jemaah yang hadir hendaklah membawa sejadah masing-masing sebelum hadir ke masjid, selain jemaah diwajibkan memakai pelitup muka.

Selain itu, pengurusan masjid hendaklah membuat penandaan jarak antara jemaah sekurang-kurangnya satu meter.

Mengenai penyebaran ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan oleh Gerakan Akhir Zaman (GAZA) di negara ini, Idris berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah untuk menyiasat perkara tersebut.

“Jika ia berlaku di mana-mana negeri, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) akan hubungi Jabatan Agama Islam negeri untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Kita akan ambil tindakan seperti ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT). Jika ada laporan mengenai ajaran sesat ini di media sosial, kita juga akan laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya

Media sebelum ini melaporkan kumpulan GAZA itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim, yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah SWT di dalam mimpinya.

Mengenai Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022, Idris berkata program tersebut adalah cetusan ideanya bagi memberi kesedaran dan peringatan yang solat penting dalam kehidupan.

“Solat ini teras kehidupan, akibat pengabaian solat akan berlaku macam-macam perkara misalnya jika jadi suami, mungkin jadi suami yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Antara program yang diatur sempena Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022 adalah program Jom Solat Bersama Anak Muda di Kuala Lumpur dan Program Penghayatan Solat Peringkat Daerah dan Jajahan Negeri Kelantan. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *