Home » Langit Terbuka » Tiada kelab hiburan kebal undang-undang

Tiada kelab hiburan kebal undang-undang

PENGUAT KUASA melakukan pemeriksaan ke atas pengunjung sebuah kelab malam dalam Op Bah Siri 44, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. utusan/AMIN FARIJ HASAN

KUALA LUMPUR 23 April– Tiada kelab hiburan yang dibuka di dalam Wilayah Persekutuan ‘kebal’ daripada undang-undang, tegas Ketua Penyelaras Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Op BAH), Azman Mahmood, bagi menyangkal dakwaan bahawa kelab hiburan kebal daripada tindakan undang-undang.

“Di seluruh Wilayah Persekutuan ada kira-kira 1,800 kelab yang perlu kita periksa dan ke­semua kelab ini akan kita pantau.

“Salah tetap salah, tindakan tetap akan diambil. Istilah kebal memang tidak ada,” tegas beliau selepas mengetuai operasi serbuan di sebuah kelab malam terkemuka, di ibu ­negara di sini.

Op BAH Siri 44 yang bermula pada pukul 1 pagi itu membabitkan 405 pegawai dan anggota daripada 28 agensi kerajaan serta 19 pertubuhan bukan kerajaan.

Pemeriksaan mendapati tiga orang positif dadah jenis meth.

Sepuluh orang diperintahkan hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk siasatan di bawah Akta 559 Ke­salahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Premis berkenan juga didapati gagal mempamerkan nama dan nombor pendaftaran sya­rikat pada resit yang dikeluarkan kepada pelanggan dan sejumlah 30 botol arak pelbagai jenama disita di bawah peruntukan Seksyen 54(1) Akta Eksais 1976.

Fokus utama Op Bah ialah penguatkuasaan terhadap pusat siber perjudian haram, pusat urut tanpa lesen, dadah, warga asing, penyalahgunaan permit dan aktiviti maksiat.

Operasi yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu disertai 17 agensi kerajaan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak sebagai peneraju utama usaha tersebut.– Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *