Home » Langit Terbuka » Tiada laluan LRT di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, tanah kubur

Tiada laluan LRT di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, tanah kubur

Kerajaan Pulau Pinang akan meminta pihak perunding projek LRT mengikut fatwa yang ditetapkan serta menghormati agama Islam berhubung isu LRT Bayan Lepas. - Foto Penang Property Talk

GEORGETOWN – Laluan transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas tidak akan membabitkan kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar dan tanah wakaf kubur.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata kerajaan negeri memutuskan demikian selepas Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bermesyuarat mengenainya baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, pembinaan struktur baharu masjid berkenaan boleh diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu bermula Ogos ini.

“MAINPP yang bermesyuarat baru-baru ini bersetuju supaya jajaran LRT itu diletakkan bersebelahan dan selari dengan jejambat Jalan Sultan Azlan Shah.

“Kerajaan negeri juga akan meminta pihak perunding projek LRT mengikut fatwa yang ditetapkan serta menghormati agama Islam,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Minggu lalu, beberapa laporan di media sosial mendakwa jajaran LRT Bayan Lepas akan mengambil kira-kira 20 peratus tanah wakaf masjid berkenaan, yang sedang dirancang pembinaannya sekaligus menimbulkan kontroversi dalam kalangan ahli kariah dan beberapa pihak lain.

Terdahulu, ketika sidang media itu diadakan, lebih 100 ahli kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar mengadakan bantahan aman di hadapan KOMTAR, susulan cadangan pembinaan jajaran LRT berdekatan masjid dan tanah perkuburan.

Sementara itu, Ketua Biro Ekonomi dan Wakaf Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, Mohamad Zahary Sheikh Abd Rahman, menyifatkan isu itu dianggap selesai selepas pengumuman keputusan oleh kerajaan negeri.

“Kita anggap isu ini selesai dengan pengumuman kerajaan negeri yang memberi jaminan tidak akan mengambil walau seinci pun tanah wakaf masjid dan kubur.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak MAINPP dan kerajaan negeri kerana mengambil maklum akan keluh kesah ahli kariah dan waris, sepanjang masalah ini timbul,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *