Home » Langit Terbuka » Tiga murid dilantik bilal tetap surau

Tiga murid dilantik bilal tetap surau

PASIR MAS 5 Okt. – Tiga murid Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum (SKBJ) di sini mencipta sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai bilal tetap untuk surau di kawasan sekitar.

Murid-murid tersebut ialah Muhammad Mukhlis Che Musa, 12; Muhammad Rafiq Muhammad, 10, dan Muhammad Faqih Fahmin Mohd, 10.

Lebih membanggakan apabila ketiga-tiga murid yang bertugas di surau tersebut turut mendapat pengiktirafan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Kese­lamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) mukim masing-masing.

Guru Besar SKBJ, Zukri Suzita Yaso berkata, pelantikan ketiga-tiga murid itu merupakan satu kebanggaan buat seluruh warga sekolah.

“Bukan mudah untuk mendapatkan peluang tersebut dan tugas mengalunkan azan bukan calang-calang orang boleh mela­kukannya.

“SKBJ akan terus memberikan sokongan dan dokongan kepada murid untuk mengembangkan potensi diri mereka kerana ini bertepatan dengan hasrat kerajaan menerusi dasar pendidikan negara dalam melahirkan murid yang mempunyai daya saing tinggi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Muhammad Mukhlis berkata, tugas sebagai bilal tetap di Surau Haji Yusoff, Kampung Gabus di sini bukan satu tugas mudah.

“Saya akui, pada mulanya agak takut untuk menerima tanggungjawab itu.

“Namun selepas mendapat sokongan ibu bapa dan guru saya makin bersemangat,” katanya.

Muhammad Mukhlis memberitahu, peluang melaungkan azan itu membuka ruang kepadanya untuk membuktikan kemampu­an diri.

Muhammad Rafiq bertugas sebagai bilal di surau Kampung Kolam manakala Muhammad Faqih di surau Al-Hidayah Kampung Bujuk. –  www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *