Home » Persuasif » Timbunan makanan Ramadan

Timbunan makanan Ramadan

Alhamdulillah, Allah SWT telah memanjangkan usia kita dan memberi kita peluang untuk bertemu dengan penghulu segala bulan iaitu Ramadan 2019/1440H. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183, “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kalian untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa”.

Ayat tersebut merupakan dalil kewajipan ibadah puasa ke atas seluruh umat Islam. Dalam ayat tersebut juga menyatakan matlamat akhir daripada ibadah puasa ini ialah takwa. Namun, ada juga sebahagian masyarakat menggelar Ramadan sebagai Bulan Pesta Makanan. Mana tidaknya, hampir setiap daerah mempunyai bazar Ramadan yang boleh dikunjungi oleh masyarakat. Persoalannya, sejauh mana bazar tersebut mampu memberi kebaikan kepada masyarakat atau membawa kepada keburukan?

Hakikatnya bulan Ramadhan juga bulan rezeki untuk para perniaga. Hal ini kerana, kebanyakan masyarakat yang sibuk bekerja sehingga tidak sempat menyediakan juadah berbuka puasa akan mengambil jalan untuk membelinya di bazar yang berdekatan. Menbeli makanan di bazar, restoran atau hotel sekalipun bukanlah suatu kesalahan. Namun perkara yang perlu dinilai ialah pembelian itu membawa kepada pembaziran atau tidak.

Penulis tidak menafikan memasak dirumah juga boleh menyebabkan pembaziran makanan jika tidak diurus dengan baik. Namun, tulisan kali ini akan memberi fokus kepada isu pembelian makanan di bazar kerana perkara ini sinonim dengan bulan Ramadan.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Solid Waste Management Corporation (SWcorp), setiap hari hampir 17,800 tan makanan dibuang oleh rakyat Malaysia dan pada bulan Ramadan rakyat negara kita membuang 270,000 tan makanan yang ‘tidak diusik’ dan masih boleh dimakan. Perkara ini amat menyedihkan kerana bulan ramadan yang sepatutnya mendidik nafsu kita ke arah syukur akhirnya menjadi kufur akan nikmat yang diberikan.

Pembaziran makanan menyebabkan kita gagal dalam tarbiah Ramadan yang dibina. Jika kita melihat kes-kes kebuluran di seluruh dunia, sudah pasti kita akan insaf dengan tindakan pembaziran yang dilakukan. Statistik Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) mununjukkan lebih 21, 000 orang meninggal dunia setiap hari akibat kebuluran dan kelaparan. Dalam keadaan masyarakat dunia mati kelaparan kita di Malaysia gembira melakukan pembaziran.

Kegusaran terhadap isu ini menyebabkan penulis cuba mencadangkan beberapa perkara untuk mengelakkan pembaziran makanan terus berlaku. Pertama, kita perlulah membezakan antara keperluan dan kehendak dengan cara menyediakan senarai barangan keperluan berbuka puasa sebelum ke bazar. Hal ini kerana majoriti yang berbelanja melebihi daripada keperluan ialah mereka yang tiada perancangan dan tidak membuat senarai semak makanan yang perlu dibeli.

Kedua, kita juga perlu mengurangkan kekerapan ke bazar. Mungkin kita boleh menetapkan hari-hari tertentu sahaja ke bazar selebihnya menyediakan juadah berbuka sendiri dirumah. Hal ini kerana di rumah kita akan menyediakan makanan bersesuaian dengan bilangan ahli keluarga berbanding ke bazar kita akan dipengaruhi dengan aneka juadah yang ada sehingga pembelian melebihi keperluan ahli keluarga.

Ketiga, kempen-kempen kesedaran turut membantu dalam mengurangkan pembaziran. Sebagai contoh, Kempen MYSaveFood@Ramadan 2019 yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Kempen yang dilakukan di 7 negeri membabitkan 16 bazar Ramadan mulai 14 hingga 26 Mei ini diharapkan dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan makanan sehingga tidak melakukan pembaziran.

Kesimpulannya, tarbiah Ramadan perlu melatih diri menjadi lebih baik bukan sebaliknya. Bersama kita merenung firman Allah dalam surah Al-Israa’ ayat ke 27 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya” Bukan niat penulis untuk menghalang masyarakat berbelanja di bazar namun kita perlulah menjadi pengguna yang bijak untuk membezakan keperluan dan kehendak.

Semoga Ramadan kali ini dapat membimbing kita kearah kehidupan yang lebih baik.

 

 

Mohd Zaiful Faizal Bin Mohamad Hasan ialah Pelatih Daie Muda YADIM 2019 

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *