Home » Lagenda » Tok Janggut ulama, pahlawan Melayu penentang British

Tok Janggut ulama, pahlawan Melayu penentang British

KUALA LUMPUR, Selasa – Haji Mat Hassan Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut diiktiraf sebagai ulama dan pahlawan Melayu yang sanggup menggadai nyawa menentang British.

Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Peradaban Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hamdan Aziz, berkata Tok Janggut adalah antara penentang British pada awal 1900-an di Kelantan, iaitu ketika berlakunya Perang Dunia Pertama antara 1914 hingga 1918.

“Walaupun dia tahu penentangannya akan berakhir dengan maut, tetapi beliau tetap meneruskannya untuk menunjukkan kepada orang Melayu lain, yang beliau juga mempunyai sifat suka menolong orang,” katanya.

Dr Hamdan adalah penyelidik manuskrip mengenai Tok Janggut pada Wacana Manuskrip Melayu bertajuk ‘Hikayat Peperangan Tok Janggut’ anjuran Perpustakaan Negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2016, di sini.

Hamdan turut menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Tok Janggut menentang Sultan Kelantan pada masa itu, dan berkata, sebenarnya beliau menentang British yang mengamalkan sikap orientalis dengan menguasai pihak istana.

Hamdan berkata, British mengetahui budaya orang Melayu adalah taat setia kepada Sultan, dan untuk menguasai orang Melayu ialah dengan mengawal Sultan mereka.

Beliau berkata, kajiannya mengenai Tok Janggut itu turut dibuat berdasarkan manuskrip yang ditulis oleh Ahmad Abdul Rahman dari Pattani, Thailand, keratan laporan akhbar British mengenai pahlawan itu oleh The Straits Times dan pembuktian tempat sejarah di Pasir Puteh.

“Manuskrip Ahmad itu yang ditulis dalam era 1950-an, mempunyai catatan yang terperinci mengenai salasilah Tok Janggut, berapa ramai adik-beradik pahlawan itu dan kehidupannya menentang British,” katanya.

Berdasarkan fakta manuskrip itu, antara sifat Tok Janggut yang boleh dijadikan pengajaran untuk generasi kini ialah kesungguhannya menentang kezaliman British, katanya.

Hamdan berkata, hasil kajiannya juga mendapati Tok Janggut bukan sahaja seorang pahlawan, malah dia adalah seorang ulama yang telah mendalami ilmu agama di pondok, sebelum ke Makkah.

Tok Janggut yang ke Makkah untuk belajar agama sebelum Perang Dunia Pertama telah didedahkan dengan fatwa kerajaan Turki Uthmaniyah yang menjadikan satu fardhu ain bagi umat Islam menentang British.

“Dalam peperangan dunia pertama, Turki, Austria, Bulgaria dan Jerman menentang British bersama sekutunya.

“Fahaman itu tertanam dalam jiwa Tok Janggut apabila dia pulang ke tanah air dan melihat masyarakat di Pasir Puteh, Kelantan ditekan dengan sistem cukai yang dilaksanakan British pada ketika itu, yang menjajah Tanah Melayu,” katanya.

Hamdan berkata, atas sifat benci kepada British yang ‘memegang’ Sultan Kelantan Muhammad IV melalui sistem penasihat dan mengenakan cukai tidak munasabah, Tok Janggut bangkit menentang bersama 1,000 pengikutnya dan dia terkorban di tangan tentera British pada 1915.

“Mayatnya dibawa ke Kota Bharu dan digantung terbalik untuk dipamerkan kepada umum sebelum dikebumikan di Seberang Sungai, Pasir Pekan,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *