Home » Lagenda » Tok Selehor

Tok Selehor

 

Tok Selehor adalah seorang ulama yang telah memasyhurkan nama sebuah kampung pedalaman di Jajahan Tumpat, kerana ilmu pengetahuan yang disebarkan olehnya kepada para pelajar yang membina pondok-pondok di Kampung Selehor. Mereka datang dari Patani, Kemboja, Palembang, Jawa, Siak dan seluruh Malaysia.

NAMA penuhnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik. Dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, di pinggir Sungai Selehor oleh ibunya, Mek Wi binti Muhammad Amin pada tahun 1871. Beliau diasuh dan dibesarkan di kampung itu dengan air Sungai Selehor yang tenang.

Pada zaman itu di Kelantan, pengajian al-Quran dipandang suatu perkara yang amat mustahak, di mana muda-mudi yang tidak menghabiskan al-Quran 30 juzuk itu dipandang dengan suatu pandangan kehinaan dan sukar mendapat pasangan. Bagi Tok Selehor, beliau beruntung besar kerana bapanya seorang guru al-Quran yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran dengan bapanya sendiri.

Haji Uthman bin Senik mempunyai cita-cita supaya anaknya menjadi seorang ulama, kerana pada pandangannya anak yang salih itu akan dapat memberikan faedah besar kepadanya, sama ada ketika hidup apatah lagi setelah meninggal dunia. Oleh kerana hasrat itulah beliau telah menghantar anaknya belajar di Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malek. Di sini, beliau hanya sekadar mempelajari pelajaran bahasa Arab sahaja, menyebabkan beliau terpaksa menyambung pelajarannya ke Patani.

Oleh kerana Patani ketika itu menjadi pusat pancaran Islam menyebabkan beliau ikut terpikat ke sana walaupun terpaksa menempuh beberapa kesukaran. Di Patani beliau belajar dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid, di Kuala Bekah. Tetapi oleh kerana Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thailand disebabkan dikhuatiri pengaruhnya yang besar itu akan menimbulkan masalah politik di Selatan Thailand. Beliau menyambungkan pelajarannya pula dengan Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Jong. Tok Selehor belajar di Patani kira-kira tujuh tahun. Demikian dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, dari Kampung Kok Keli, Tumpat yang menjadi murid Tok Selehor selama lapan belas tahun.

Semasa belajar di Patani, beliau pernah berulang-alik ke Kelantan dengan berjalan kaki. Beliau tidak takut kepada musuh-musuh dan penyamun-penyamun yang berada di Bukit Tanjung atau sebagainya kerana beliau pandai bersilat dan pandai bermain senjata keris.Minatnya kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok Selehor cenderung membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau pandai pula membaca dengan lagu-lagunya yang indah, tambahan pula suaranya sangat merdu menarik minat umum kepadanya. Beliau bukan sahaja pandai membaca syair, malah pandai pula mengarangnya. Pada waktu itu tidak ada orang yang pandai mengarang syair yang dapat menandinginya.

Oleh kerana kebolehannya yang luar biasa itu, namanya menjadi masyhur dan beliau pernah diupah mengarang syair romantis lantaran syairnya, beberapa orang isteri yang bencikan suami pulang dan tinggal dengan aman damai setelah menerima surat syair yang ditulis oleh Tok Selehor. Antara syair yang sangat berpengaruh itu masih diingati oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Che Yim dan Che Abdullah di Kampung Kok Pasir, Tumpat iaitu:

Tiap-tiap malam kanda bermimpi,

Adinda di tengah kanda di tepi;

Menghisap rokok meminum kopi,

Memeluk tengkuk mencium pipi.

Sedap rasanya tiada terperi,

Harum baunya umpama kasturi;

Suka dan hilai senang di hati,

Kasih mesra sehingga mati.

Ketika masih belajar di Patani beliau berkahwin dengan wanita pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dolah, tetapi tidaklah beliau mengorbankan pelajarannya lantaran perkahwinan ini, malah mendorong beliau untuk belajar bersungguh-sungguh. Daripada perkahwinan tersebut beliau mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mat, Maimunah dan Abu Bakar. Sekembali dari Patani, beliau menyambung pelajarannya di Mekah. Gurunya Pak Chik Daud, mertua kepada Pak Da Ali, guru bangsa Melayu yang masyhur di Mekah. Kerana catatan-catatan dan penerangan-penerangan yang ditulis oleh Tok Selehor itu maka Tok Kenali telah meminjam Musalli untuk mengajar murid-muridnya.

Ketika masih belajar di Patani itu beliau berkahwin dengan Hajah Aisah binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu. Tidak lama setelah kembali ke Kelantan mereka berpisah. Kemudian Tok Selehor berkahwin pula dengan Hajah Mek binti Mat Saman yang termasyhur cantik pada masa itu. Beliau mendapat dua orang anak perempuan iaitu Hajah Jah, ibu kepada Datuk Dusuki Haji Ahmad dan Hajah Nah.Tetapi akhirnya mereka berpisah. Pada ghalibnya, Tok Selehor mempunyai empat orang isteri.

Setelah kembalinya dari Mekah, Tok Selehor membuka pondoknya di tepi Sungai Selehor di atas tanah ayahnya, kira-kira dalam tahun1340 H. Selepas beberapa tahun sahaja, pondoknya berkembang hebat kerana ramainya pelajar-pelajar dari luar dan dalam negeri membuka pondok di situ. Mereka datang dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya. Untuk mencukupi air minum, digali sebuah telaga besar pada tahun 1343 H.

Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawwuf. Kitab Hilam oleh Ibn `Ataillah merupakan kitab yang paling masyhur diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah SWT menjauhi daripada sifat-sifat keji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum’ah dan sebagainya.

Tok Selehor dalam menyampaikan ajarannya sangat dimesrai oleh pendengarnya. Walaupun diulang-ulang tetapi tidak menjemukan. Mengikut Tuan Guru Haji Hasan Ahmad: “Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih manis dan mesra yang dapat mengatasi Tok Selehor.”

Oleh kerana begitu menarik, maka apabila dia membicarakan tentang dosa, maka ada daripada pendengar menangis kerana takut dan insaf atas ajaran-ajaran ‘itu. Pada hari Selasa, Tok Selehor mengajar untuk umum. Maka hari itu, berduyun-duyunlah penduduk setempat datang ke Pondok Selehor dengan berjalan kaki, walaupun berpuluh-puluh batu jauhnya. Mereka tidak peduli musim hujan atau sebagainya. Kebanyakan yang datang mendengar ialah dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat dan sebagainya sehingga Pondok Selehor bertukar menjadi seperti bandar kecil atau pasar minggu. Demikian dijelaskan oleh Pak Su Ismail bin Haji Abdul Rahman, bekas Imam Tua Mukim Delima, Wakaf Bharu, murid Tok Selehor.

Tok Selehor juga suka membaca kisah Israk dan Mikraj. Jika beliau membaca kisah itu, terasa benarlah kemesraan terhadap Nabi Muhammad SAW, dan ada orang terpaksa memanjat pokok kelapa untuk melihat Tok Selehor yang sedang membaca Israk dan Mikraj itu. Orang-orang yang datang mendengarnya telah banyak berubah daripada tidak sembahyang kepada sembahyang, daripada jahat kepada baik, daripada nakal kepada insaf. Sehingga Kampung Selehor yang dulu banyak pemujaan hantu-hantu telah berhenti dengan serta-merta dan mereka telah bertukar menyembah kepada Allah semata-mata pula.

Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawwuf. Kitab Hilam oleh Ibn `Ataillah merupakan kitab yang paling masyhur diajarkan kepada orang ramai.

Tok Selehor pernah mengadakan perayaan Maulidur Rasul secara besar-besaran dan beliaulah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan seperti itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran diadakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulidur Rasul anjurannya.. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasul Allah yang penuh tenaganya menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasul Allah daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja atau secara praktikal.

Tok Selehor sebagai seorang peminat seni begitu gemar kepada perkara yang cantik-cantik. Beliau suka akan kuda yang cantik, biri-biri jantan yang cantik, beruk yang cantik dan juga suka kepada ayam jantan laklung (berkokok dengan suara yang merdu dan panjang). Satu hobinya lagi ialah suka memburu rusa dan memukat ikan. Beliau pernah keluar memukat ikan di Kuala Tumpat dan sebagainya, dan ikan-ikan yang diperoleh itu dibahagi kepada para penghuni pondoknya.

Tok Selehor adalah kawan baik Tok Kenali, sebab itu perhubungan mereka sering terjalin dan pernah mereka mengadakan perbincangan-perbincangan dalam usaha mengembangkan Islam. Tok Kenali menggelarnya sebagai “Penyair Kita”. Mengikut keterangan Tuan Guru Encik Ismail Ali (Pak Su Wail) Kampung Dangar, bahawa beliau bersama-sama melawat jenazah Tok Kenali dan pergi ke kubur bersama-sama Tok Selehor pada tahun 1933.

Tok Selehor telah menyuruh beliau mengamalkan wirid Wali Tujuh dan supaya sentiasa membaca Ayat al-Kursi. Encik Ismail yang sempat belajar selama 15 tahun dengan Tok Selehor itu menjelaskan bahawa Tok Selehor seorang yang zahid, warak dan tawaduk, tidak banyak bercakap perkara sia-sia dan suka beribadat.

Pada suatu hari dalam tahun 1935. Tok Selehor pergi memburu rusa sebagaimana kebiasaannya di selatan Thailand, tetapi kali ini dia pergi berburu di Gual Periuk, suatu tempat yang dianggap berpuaka, tetapi Tok Selehor tidak takut sedikit pun. Di dalam berburu itu digunakannya pipit pemanggil rusa. Setelah ditiup pipit itu, maka rusa pun datang dan ketika itulah rusa ditembak dan disembelih. Oleh sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa. Demikian dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Husain dan Encik Mamat bin Senik dari Selangor.

Selepas tiga hari pulang daripada memburu rusa, seekor ikan yu yang besar, yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan timbul di pangkalan tempat mandi Tok Guru Selehor. Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, kemudian keluar semula ke laut. Dua hari kemudian datang burung gagak ke tanah perkuburan Selehor dengan banyaknya sehingga orang-orang kampung hairan melihat peristiwa itu kerana mereka tidak tahu apa maksudnya.

Selepas beberapa hari, Tok Selehor ditimpa sakit kepala, walaupun diubati tidak sembuh. Selepas lapan hari, iaitu pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935, jam 8.30 malam, dia pun meninggal dunia dalam usia 64 tahun.

Beliau telah meninggalkan beberapa orang ulama yang menjadi pendakwah dan membuka pondok, antaranya ialah:-

  1. Haji Che Mamat bin Haji Sharif, Kok Keli, Tumpat.
  2. Haji Che Ismail bin Che Ali, Kampung Dangar, Pasir Mas.
  3. Tok Guru Haji Saleh Pedada bin Yusof, Bunohan, Tumpat.
  4. Tuan Guru Pak Chik Dir (Haji Abdul Kadir) bin Haji Abdul Samad,Gaal, Pasir Puteh.
  5. Tuan Guru Haji Pak Man (Sulaiman) bin Haji Omar, Chabang Tiga Berangan, Tumpat.
  6. Tuan guru Haji Yaakub bin Uthman, Wakaf Bharu.
  7. Haji Abdullah bin Haji Senik, seorang qari al-Quran di Pasir Mas.
  8. Tuan Guru Haji Yaakub bin Ishak, Berangan, Tumpat dan beberapa orang lagi yang menjadi pendakwah dan kadi di luar Kelantan.

 

 

[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI