Home » Persuasif » Enam usul teras jayakan perpaduan

Enam usul teras jayakan perpaduan

Oleh Dr Muhamad Razak Idris

WARGA Multaqa Perpaduan Ummah (MPU) yang bersidang pada 18 Mei lalu bersepakat dan mencadangkan enam usul untuk digerakkan bagi menjayakan perpaduan ummah di negara kita. Usul pertama menyangkut kepentingan bagi mengukuhkan institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung dan tonggak kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia.

Untuk itu, institusi Raja-Raja hendaklah terus diperkukuhkan fungsi dan peranan dalam negara supaya ia sentiasa dihormati oleh masyarakat sejajar dengan struktur dan sistem kenegaraan Malaysia semasa.

Warga MPU bimbang sekiranya institusi Raja-Raja tidak dihormati, payung yang paling kukuh bagi menaungi seluruh kepentingan umat dan negara ini, akan goyah. Ini menjadi satu ancaman kepada benteng utama keutuhan perpaduan ummah. Institusi Raja-Raja yang dihormati mampu berperanan sebagai penentu, penilai dan pengimbang paling berhikmah menerusi titah dan nasihat terbaik kepada pihak berkaitan bagi sebarang kekusutan, pertikaian atau perselisihan berlarutan yang boleh mencabar keutuhan perpaduan ummah.

Sepanjang persidangan perpaduan ummah itu juga, inti pemikiran utamanya tertonjol jelas iaitu perpaduan ummah ialah keutamaan tertinggi agama di negara kita hari ini. Menerusi perpaduan ummah yang utuh, ia akan membuka ruang dan peluang luas bagi proses pembangunan ummah tersusun dan menyeluruh daripada aspek ekonomi, politik dan sosial.

Sebarang bentuk halangan, cabaran dan kesukaran yang mungkin dihadapi bagi merealisasikan agenda perpaduan ummah hendaklah diatasi dan ditangani secara bertahap dan berhikmah. Bagi merealisasikan hasrat luhur ini, warga MPU juga mencadangkan usul kedua iaitu satu persekitaran politik Malaysia sihat dan positif hendaklah diwujudkan. Ini bagi membolehkan semua pihak terbabit di dalam proses perlakuan politik boleh berfungsi secara seimbang dan konstruktif, sejajar dengan ruang hak partisipisasi yang wujud dalam sistem demokrasi terbuka negara kita.

Untuk itu, warga MPU mencadangkan supaya pertemuan khusus dilakukan kepada pemimpin utama di pihak kerajaan atau pembangkang. Pertemuan itu mempunyai tujuan khusus antaranya menyatakan keprihatinan rakyat terhadap kepentingan semua parti politik berpegang kepada nilai dan prinsip politik yang dianjurkan Islam. Menerusi persefahaman itu, ia diharap akan menyumbang kepada kelahiran persekitaran politik positif yang mampu beri hak saksama, terbuka dan adil kepada semua pihak untuk berpartisipasi di arena politik demi kesejahteraan negara.

Menerusi pengamalan politik berteraskan nilai mulia, bidang politik akan dihormati oleh rakyat. Ini secara langsung dapat mengangkat kedudukan penggiat politik sebagai kelompok yang dihargai. Situasi ini akan menjadikan politik menyatukan ummah dan bukan sebagai elemen yang memecahbelahkan. Sekiranya pemimpin politik utama bersepakat, pertemuan bersama wajar dikelolakan bagi menunjukkan komitmen perpaduan ummah.

Di samping itu, MPU juga mengusulkan supaya usaha menghimpunkan pergerakan masyarakat sivil atau madani di negara ini dirancakkan. Komponen masyarakat madani amat penting kerana ia adalah antara wadah terbesar bagi masyarakat menyumbang kepada pembangunan negara menerusi kegiatan kebajikan, kesukarelaan dan pembangunan masyarakat. Kesepaduan golongan madani di negara kita menerusi pergerakan sivil mereka sama ada berorientasikan keagamaan, kebudayaan dan perekonomian hendaklah digembleng.

Kesepakatan mereka pasti memberi impak berganda kepada pembangunan akar umbi rakyat terbanyak dalam segenap bidang kehidupan. Usul keempat ialah kepentingan untuk satu gerakan meluas bangunkan fikrah perpaduan dalam kalangan rakyat. Masyarakat yang berada di segenap lapisan dari kalangan petani, nelayan, buruh dan peladang misalnya, hendaklah menjadi kelompok utama menggerakkan cita-cita perpaduan ummah.

Gerakan kesedaran perpaduan ummah selepas ini hendak memperbanyakkan aktiviti turun padang menjelaskan cita-cita perpaduan ummah ke segenap peringkat masyarakat. Perpaduan ummah tidak akan bermakna tanpa pembabitan generasi muda.

Warga MPU mencadangkan usul kelima supaya fikrah perpaduan serta nilainya diterapkan lebih awal dalam kalangan generasi muda. Sekiranya jiwa dan nilai perpaduan ini tercerna dalam kalangan generasi muda sejak awal, negara kita pasti tidak akan berdepan dengan isu perpecahan ummah pada masa depan. Untuk itu, persidangan perpaduan ummah di kalangan generasi muda dicadangkan untuk dikelolakan. Ini bagi membolehkan idea mereka diangkat secara meluas terutama bagi membentuk minda dan jiwa perpaduan secara lebih berkesan di kalangan generasi muda negara.

Usul keenam ialah penekanan supaya satu gabungan media nasional dan media sosial dibentuk bagi membangkitkan semangat perpaduan dalam kalangan ummah. Dalam erti kata lain, peranan media adalah asasi bagi menyebarkan fikrah dan jiwa perpaduan menerusi pelbagai program penyiaran mereka.

Apa yang lebih utama lagi ialah media hendaklah mengelak daripada terjebak dengan perbuatan yang menyebabkan terjadinya perpecahan ummah menerusi pemberitaan yang tidak tepat atau bersifat adu domba.

Enam usul ini akan menjadi agenda teras bagi merealisasikan perpaduan ummah di negara kita. Satu sekretariat khas telah dibentuk di bawah Majlis Dakwah Negara (MDN)-YADIM bagi mengusahakan segala cadangan yang dikemukakan MPU. MDN juga sudah mengenalpasti dan melantik sejumlah tokoh ilmuwan, agamawan, birokrat dan teknokrat negara bagi menganggotai pasukan panel perunding perpaduan ummah yang akan berfungsi merencana dan menasihatkan langkah dan tindakan yang wajar bagi menjayakan cita-cita perpaduan ummah dalam masa terdekat ini. BERITA HARIAN

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *