Home » Wacana » Tuesdays with Morrie

Tuesdays with Morrie

Hari ini aku membaca sebuah buku kecil, Tuesdays with Morrie…kisah benar yang dinukil sendiri oleh Mitch Albom bersama bekas profesornya di Universiti Brandies, Massachusetts. Kendatipun kecil saiznya, namun novel terbitan tahun 1997 ini membawa satu isu besar kepadaku. Buktinya, aku tak dapat meringkaskannya dalam beberapa perenggan seperti buku-buku sebelum ini. Serasa terlalu banyak ‘isi penting’ yang perlu disertakan dan rugi jika ditinggalkan. Begini catatanku…

Mitch Albom, seorang  kolumnis sukan yang berjaya di Detroit Free Press telah berkesempatan mendampingi bekas professornya,  Morrie Schwartz yang menderita penyakit amyotrophic lateral sclerosis (ALS). Morrie menghabiskan hari-hari terakhirnya dengan berkongsi sebanyak mungkin mengenai falsafah hidupnya kepada orang lain dan hampir melupakan penyakit yang dideritainya. Dan sesi khas antara Mitch dan Morrie diadakan setiap Selasa selama 14 minggu. Berikut adalah beberapa pendapat dan pandangan Morrie yang kaya dengan pengalaman untuk dikongsi bersama pelajarnya, Mitch, juga buat kita semua;

  • Dunia – Perkara paling penting dalam hidup adalah belajar bagaimana hendak memberi kasih sayang dan menerima kasih sayang. Kita sangka kita tidak layak menerima kasih sayang, kita juga sangka jika menerima kasih sayang kita menjadi ‘lembut’. Tetapi seorang lelaki bijak bernama Levine pernah berkata, ‘Kasih sayang adalah satu-satunya perbuatan yang wajar’.
  • Mengasihi diri sendiri – Bukankah lebih elok menetapkan had masa dalam sehari bagi mengenangkan nasib diri. Hanya beberapa minit yang memilukan, kemudian menempuh hari itu seperti biasa.
  • Penyesalan – Kita terlalu terkongkong dengan perkara-perkara egois, kerjaya, keluarga, menambah kekayaan, mengurus gadai janji, membeli kereta baru, melakukan kerja-keja rencam di rumah. Kita sibuk dengan ratusan perkara kecil hanya bagi meneruskan kelangsungan hidup. Jadi kita gagal menjadikan tabiat di mana kita sepatutnya berdiam diri seketika dan menilai pencapaian hidup kita dan bertanya, ini sahajakah? Ini sahajakah yang aku mahu? Ada apa-apa lagi yang kurang? “Kamu perlu seseorang bagi membimbing kamu ke arah itu. Ia tidak mungkin berlaku secara tiba-tiba.”
  • Kematian – “Saya sendiri tidak tau apa erti sebenar ‘kemajuan kerohanian’. Tetapi saya tahu kita kekurangan dalam hal itu. Kita terlalu terlibat dengan hal-hal kebendaan, dan ia tidak sedikit pun memberi kepuasan kepada kita. Hubungan kasih sayang sesama kita, alam sekeliling kita, tidak pernah mengendahkannya.
  • Keluarga – Penyajak Auden, “Saling sayang menyayangi atau hidup menjadi tidak bermakna.” Rob dan Jon mahu berhenti kerja dan menjaga bapanya, Morrie, tetapi ini jawapan Morrie. “Jangan berhenti dengan hidup kamu. Jika tidak, penyakit ini akan memusnahkan kita bertiga, bukan hanya saya seorang.”
  • Perasaan – “Mengasingkan perasaan”. Biarkan diri mengalami perasaaan sakit, sedih, derita dengan membenarkan diri kita menyelaminya jauh ke dalam, malahan sampai ke dasar, kita akan benar-benar merasainya. Kita akan tahu apa itu sakit. Kita akan kenal apa itu kasih sayang. Kita akan kenal apa itu kesedihan. Hanya selepas itu kita boleh berkata, “Hah…aku pernah merasai perasaan itu, sekarang aku perlu ‘keluar’ daripada perasaan itu buat seketika.”
  • Duit – “Satu kekeliruan besar berlaku dalam negara ini adalah berkaitan dengan apa yang kita mahu, berbanding apa yang kita perlu. Kita perlukan makanan, kita mahukan aiskrim coklat. Kita mesti ikhlas dengan diri sendiri. Kita tidak memerlukan kereta sport baru, dan kita tidak memerlukan rumah paling besar. Hakikatnya, kamu tidak mendapat kepuasan daripada benda-benda itu. Apa yang betul-betul dapat memberi kepuasan adalah menawarkan kepada orang lain apa yang kamu dapat beri”.
  • Cinta yang berkekalan – ‘Love is how you stay alive’. Morrie sentiasa menyapa dengan kata,”Ah, sahabat saya…”. Apabila bercakap, pandang ke mata dan mendengar betul-betul apa yang kamu katakan. Seolah-olah kamulah satu-satunya orang dalam dunia ini.
  • Perkahwinan –“Ada beberapa peraturan yang saya tahu mengenai kasih sayang dan perkahwinan yang boleh diikuti. Sekiranya kamu tidak meghargai pasangan kamu, kamu akan menghadapai banyak masalah. Sekiranya kamu tidak tahu bertolak ansur, kamu akan menghadapi banyak masalah. Sekiranya kamu tidak mampu bercakap secara terbuka apa yang berlaku di antara kamu, kamu akan menghadapi masalah. Dan sekiranya kamu tidak mempunyai nilai-nilai kesepakatan, kamu akan menghadapi banyak masalah. Nilai-nilai kamu berdua mestilah serupa. Dan yang paling penting di antara nila-nilai itu, kepercayaan kamu terhadap pentingnya perkahwinan kamu. Secara peribadi, saya rasa perkahwinan adalah perkara penting yang perlu dilalui, dan kamu akan kerugian sekiranya tidak mencubanya.”
  • Budaya – Manusia akan berkeras apabila mereka terancam. Bentuk budaya kecil kita sendiri. Contohnya seperti perempuan yang tidak memiliki tubuh yang kurus ataupun orang yang tidak ada banyak wang sering menganggap dirinya kekurangan. Itu sebenarnya apa yang budaya kita mahukan kita percaya. Saya tidak mempercayai semua itu. Cara mengatasinya, bukan lari daripadanya. Kamu terpaksa berusaha membentuk budaya kamu sendiri. Tidak kira di mana kamu tinggal, kekurangan utama manusia adalah ‘rabun dekat’. Kita tidak melihat kemampuan diri sendiri. Kita patut melihat kepada potensi diri kita sendiri, menjangkau seberapa jauh yang boleh bagi mencapai apa yang kita mampu lakukan. Pada permulaan hidup, semasa bayi kita bergantung kepada orang lain untuk hidup bukan? Dan di penghujung hidup, kamu memerlukan orang lain bagi bergantung hidup, bukan? Tetapi inilah rahsianya, di antara kedua-keduanya, kita juga saling memerlukan.”
  • Kemaafan – “Maafkan diri kamu sendiri sebelum mati. Kemudian maafkan orang lain.” Berdamailah dengan diri sendiri. Maafkan di atas perkara-perkara yang sepatutnya kita lakukan tetapi tidak kita lakukan. Jangan tunggu, bukan semua orang mendapat waktu, bukan semua orang bernasib baik.”
  • Hari yang sempurna – “Pasrah menerima kematian. Sekiranya kita tahu, akhirnya kita dapat menerima kematian itu dengan pasrah, barulah kita dapat lakukan urusan yang paling susah iaitu berdamai dengan kehidupan. Selagi kita boleh menyayangi antara satu sama lain, dan ingat perasaan sayang yang kita ada, kita boleh mati, tetapi tidak berpisah. Segala cinta dan kasih sayang yang kita pupuk masih ada di sana. Segala kenangan masih ada di sana. Kita terus hidup – dalam hati setiap orang yang pernah kita sentuh dengan kasih sayang.”

Komen aku, kebanyakan perkara yang diluahkan oleh Morrie telah diterangkan dengan jelas di dalam Islam. Dan kita patut bersyukur untuk itu. Cumanya, setakat mana kefahaman dan dan penghayatan kita, adakah sebaik Morrie?

Ulasan oleh Abdul Razak bin Maksud.

Entri-entri lain boleh dibaca di www.catatanseorangaku-ajako.blogspot.com.

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *