Home » Langit Terbuka » Tunai hasrat 78 penduduk ke Tanah Suci

Tunai hasrat 78 penduduk ke Tanah Suci

Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan) beramah mesra dengan jemaah umrah terpilih dalam Majlis Bacaan Yasin, Penyampaian Peralatan dan Keperluan Kepada Bakal Jemaah Umrah di Masjid Tok Bandar, Batu 42, Pulai, Baling, Kedah, semalam. UTUSAN

 

BALING 10 Feb. – Sebanyak 78 penduduk di daerah ini berpeluang menunaikan umrah buat kali pertama dengan tajaan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Abdul Azeez, sehingga kini 1,200 penduduk dihantar untuk mengerjakan umrah dan haji di Tanah Suci sejak beliau memperkenalkan program berkenaan dalam usaha membolehkan golongan kurang berkemampuan menunaikan ibadah itu.

“Setiap tiga bulan sekali saya akan menghantar penduduk di daerah ini yang terpilih untuk mengerjakan umrah dan ini adalah siri ke-18 pelepasan untuk umrah.

“Kebanyakan yang terpilih terdiri daripada mereka yang tidak pernah menjejak kaki ke Mekah, selain itu, mantan-mantan ketua cawangan, ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, kepimpinan UMNO bahagian empat peringkat dan sebagainya lagi turut dihantar berperingkat-peringkat,” kata Abdul Azeez.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Bacaan Yasin Serta Penyampaian Peralatan dan Keperluan Kepada Bakal Jemaah Umrah di Masjid Tok Bandar, Batu 42, Pulai, hari ini.

Pada majlis itu, beliau juga turut menyampaikan beberapa peralatan dan keperluan seperti kain ihram dan telekung kepada semua bakal jemaah yang terlibat.

Abdul Azeez turut berpesan kepada jemaah umrah agar sentiasa mengikut arahan dan peraturan yang diberikan ketika berada di sana dan sentiasa menjaga kesihatan supaya dapat mengerjakan umrah dengan sempurna.

“Inilah usaha saya selama ini yang merupakan salah satu ibadah demi menjaga kebajikan dan hubungan sesama manusia dan Allah.

“Saya juga berharap agar mereka mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian terhadap agama, bangsa dan negara tercinta ini apabila berada di sana nanti,” kata Abdul Azeez.

Dalam pada itu, bagi penduduk yang terpilih tiada yang paling menggembirakan selain berpeluang menunaikan ibadah itu pada minggu hadapan.

Noorfisah Hashim, 58, dari Kampung Seberang Pekan di sini berkata, kegembiraan tidak dapat dilahirkan dengan kata-kata apabila diberitahu dia terpilih untuk mengerjakan umrah dalam masa terdekat ini.

“Syukur kepada Allah dan saya agak terkejut apabila diberitahu terpilih bersama perserta lain untuk mengerjakan umrah.

“Inilah pertama kali saya akan menjejakkan kaki ke Mekah dan menunaikan umrah dengan tajaan sepenuhnya daripada Datuk Seri,” kata Noorfisah.- UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *