Home » Langit Terbuka » TWRJ bawa manfaat buat umat Islam

TWRJ bawa manfaat buat umat Islam

JOHOR BAHRU 8 Nov. – Penubuhan Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ) merupakan medium umat Islam menyumbang dan melakukan amal jariah berdasarkan kerangka Islam sekali gus memastikan objektifnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kesihatan tercapai.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi memastikan objektif penubuhan tabung wakaf itu terlaksana dan sasarannya tercapai, Perbadanan Islam Johor (PIJ) dilantik untuk mengendalikannya.
Katanya, sudah tiba masanya umat Islam di negeri ini menggunakan model pembangunan berdasarkan Islam dan bukan hanya berpandu kepada konsep yang diperkenalkan dunia Barat semata-mata.
“Sehubungan itu, wakaf menjadi pilihan kita kerana perkara itu bukan sahaja ibadah, tetapi juga dakwah. Wakaf adalah kaedah terbaik dalam menguruskan kekayaan untuk dikongsi secara bersama-sama.
“TWRJ merupakan satu ikhtiar bagi menyuburkan kebaikan di negeri ini mengikut acuan dan landasan agama,” katanya berucap dalam pelancaran TWRJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melancarkan TWRJ yang juga merangkumi pembinaan Kompleks Perubatan Pakar di Bandar Baru Uda, Dewan Besar Larkin dan tapak perniagaan Food Truck Muafakat Bangsa Johor.
Setakat ini, tabung wakaf ter­sebut sudah mengumpul dana sebanyak RM12 juta yang disumbangkan agensi kerajaan, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan mahupun individu.
Tambah Mohamed Khaled, pihaknya berharap penubuhan tabung wakaf itu bakal membawa manfaat lebih besar pada masa depan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kesihatan.
Dana TWRJ akan dikutip secara tunai sumbangan orang ramai serendah RM3 dan bagi kakitangan kerajaan pula boleh membuat potongan gaji RM10 ke atas sementara badan korporat boleh menyumbang mengikut kehendak mereka.
Hasil kutipan TWRJ akan di­laburkan antaranya membina sekolah-sekolah agama bersepadu, sekolah antarabangsa, surau, masjid, klinik serta hospital wakaf selain membangunkan sektor hartanah dan pembelian aset.
-https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *