Home » Langit Terbuka » Ulama Indonesia keluar fatwa haram bakar hutan

Ulama Indonesia keluar fatwa haram bakar hutan

JAKARTA 14 Sept – Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa yang mengharamkan masyarakat Islam di negara ini membakar hutan dan tanah gambut dengan sengaja, semalam.

Memetik laporan Nasional Kompas, Pengerusi Fatwa MUI, Profesor Huzaemah Yanggo berkata, pengharaman itu susulan pembakaran yang bersifat merosak dan merugikan kawasan sekitar.

“Perbuatan membakar hutan dan tanah gambut yang akan menyebabkan kerosakan, pencemaran kawasan sekitar, kerugian ekonomi, menjejas kesihatan dan kesan-kesan negatif lain adalah haram,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya yakin fatwa terbaharu itu akan membantu mengubah kebiasaan membakar tanah gambut secara haram.

MUI telah mengarahkan para ulama dan guru agama di negara ini supaya menyebarkan mesej bahawa amalan-amalan tradisional bagi membersihkan tanah gambut oleh para peladang menyalahi ajaran Islam.

Sebuah buku yang menjelaskan fatwa tersebut juga akan diagihkan kepada masyarakat.

MUI menerima permintaan daripada Kementerian Persekitaran dan Perhutanan untuk mengeluarkan fatwa berkaitan kebakaran hutan pada bulan Januari tahun ini.

Menteri Persekitatan dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar dilaporkan berkata, “Kami memahami bahawa denda berbentuk kewangan tidak mencukupi, apa lagi yang berbentuk formal. Apa yang penting adalah tekanan moral.”

Ini setelah kebakaran hutan terbesar di Indonesia pada tahun 2015, iaitu salah satu tempoh paling dahsyat pernah dicatatkan.

Antara bulan Mac dengan Julai tahun ini MUI menjalankan kajian dan penilaian sebelum mengeluarkan fatwa tersebut semalam.

MUI merujuk kepada al-Quran dan juga pihak-pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan fatwa itu.

MUI juga merancang untuk mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap fatwa itu.

  • SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *