Home » Wacana » Ulama Pemangkin Penyatuan Ummah

Ulama Pemangkin Penyatuan Ummah

PERGH sedapnya Tomyam Pok Tek ni. Aromanya amat mengancam! Siapa tahu cara masak hidangan yang turut dikenali dengan nama Perahu Pecah ini? Adakah semudah mencampakkan udang, ketam, ikan, sotong, lala ke dalam periuk, maka siaplah hidangannya?

Semua tahu, ia bukannya begitu. Ada langkah-langkah yang perlu dibuat atau perkataan popular sekarang, SOP yang perlu dipatuhi. Itu baru proses memasak tomyam, ia sebenarnya turut terpakai terhadap perkara lain yang lebih besar khususnya apabila melibatkan nyawa umat manusia.

Contoh paling mudah ialah penghasilan sesuatu fatwa oleh para ulama yang melibatkan gabungan ulama ‘agamawan dan keduniaan’. SOP ketat termasuk perbincangan, pembentangan data spesifik, segala kaedah hukum-hakam digunakan, kepentingan maslahah umum diambil kira sebelum ia dikeluarkan. Ia tidak terhasil secara ilham dalam mimpi atau melalui perbincangan grup whatsapp atau juga melalui perbincangan mesyuarat tingkap sahaja.

Apa yang menjadi masalah, ramai percaya urusan memasak tomyam tadi memerlukan langkah khusus tapi tidak mempunyai perspektif sama terhadap urusan pengeluaran fatwa. Bagi mereka, seolah-olah para ulama hanya ‘suka-suka’ mengeluarkan fatwa. Boring pada waktu petang, maka lebih baik keluarkan fatwa!

Mungkin anda pakar dalam sesuatu bidang tapi tidak bermakna turut handal dalam perkara lain. Seorang pakar bina kapal terbang, masih belum tentu dia turut pandai menanam cili hijau besar untuk dijadikan solok lada nasi kerabu. Itu adalah hakikat, kita semua arif tentangnya tetapi malangnya ramai yang buat-buat lupa.

Bukan penulis yang ucap tapi Allah SWT telah berfirman dalam Surah an-Nahli:43: “… maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.”

Pada masa ini, seolah-olah terdapat gerakan tersusun yang modus operandinya adalah untuk memperlekehkan institusi ulama. “Jangan campuri urusan dunia, anda tiada kelayakan, tugas ulama hanya sesuai untuk menghamparkan sejadah sahaja…”

Ini antara intipati perbincangan dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda bertajuk: “Ulama Pemangkin Penyatuan Ummah” dengan panelisnya, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Madya Dato’ Dr Izhar Ariff Mohd. Khasim dan Ustaz Mohd. Hariri Mohamad Daud, selebriti dakwah sebagai moderator.

Ditanya mengenai pengertian ulama, adakah ia khusus merujuk kepada pakar-pakar agama sahaja. Izhar Arif memetik definisi Almarhum Muhammad Said Ramadan al-Bouti iaitu ulama yang merupakan pewaris nabi terbahagi kepada dua kategori, merujuk kepada Surah an-Nahli: 43 itu:

1. Individu mahir dalam agama yang dirujuk oleh orang alim lain.
2. Alim dalam bidang keduniaan seperti perubatan, ekonomi, matematik, kejuruteraan dan memanfaatkan kepakaran itu kepada manusia lain.

“Dalam mengeluarkan fatwa bersabit dengan isu-isu kontemporari, kedua-dua kategori ulama ini bergabung bagi memastikan resolusi itu menepati kemaslahatan manusia dan maqasid syariah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai label ulama suu’ atau ulama jahat oleh netizen untuk asatizah yang bekerja untuk kerajaan, Izhar Ariff menjelaskan bahawa tohmahan itu amat salah.

“Jangan kecilkan skop Islam, iaitu ulama yang mencari rezeki adalah ulama jahat, kononnya ulama hanya perlu kejar akhirat sahaja. Menurut Imam al-Ghazali, ulama jahat ialah yang menjual agama demi untuk kepentingan dunia dan menjaga jawatan contohnya menghalalkan rasuah dalam keadaan-keadaan tertentu.

“Jangan cepat menghukum sebelum terdapat bukti yang sahih. Jika tersilap, nak minta maaf macam mana, mahukah jadi muflis semasa akhirat nanti,” katanya.

Hariri: Pada masa ini perpaduan umat Islam amat rapuh yang dikuatkan lagi dengan faktor sisi gelap media sosial. Bagaimana caranya nak atasi doktrin ini?

Izhar Ariff: Punca utamanya, umat Islam sekarang ditimpa wahan atau fitnah dalam kalangan masyarakat yang datang dari mereka sendiri.

1. Ia selari dengan Protokol Yahudi iaitu untuk jatuhkan umat Islam perlu manipulasi apa yang mereka pegang iaitu al-Quran dan hadis. Ramai yang tafsir al-Quran ikut hawa nafsu tanpa merujuk kepada pakar.

* Contoh klasik – ayat al-Quran…”tiada paksaan dalam agama”, maka ditafsirkan oleh golongan liberal bahawa boleh tukar agama dan boleh lakukan hubungan luar tabie oleh LGBT berdasarkan ayat itu. Tafsiran sebenar ayat itu ialah untuk bukan Islam iaitu tidak boleh memaksa mereka memeluk agama Islam.

2. Biarkan umat Islam bergaduh iaitu pecah-belahkan kekuatan mereka. Antara doktrinnya ialah agama dan politik perlu dipisahkan. Butakan umat Islam daripada sejarah Islam.

* Tidak tahu sejarah Islam, khususnya nabi, sahabat, punca kejatuhan kerajaan Islam, maka akan gelaplah masa depan. Melalui sejarah kita bakal ketahui adakah Saidina Abu Bakar, Usman, Umar itu semata-mata agamawan? Sedangkan khulafa al-Rashidin itu merupakan ahli politik terbaik, tokoh korporat yang jujur, panglima perang yang hebat.

* Imam-imam mazhab juga selain menjadi agamawan mereka juga hartawan yang diperoleh melalui hasil perniagaan yang digunakan semula untuk maslahah umat. Sahabat-sahabat nabi juga berpolitik tetapi pengikut mereka tidak berpecah-belah antara satu sama lain.

* Jika umat Islam celik sejarah bermakna segala propaganda jahat tidak akan berjaya. Jelas lagi terang bahawa ulama tugasnya tidak hanya sekadar menghamparkan sejadah sahaja.

Tegas Izhar Ariff perpecahan umat Islam pada masa ini amat teruk dan pada masa sama pihak musuh pula semakin bersatu. Formulanya amat mudah, kembalilah kepada Islam yang sebenar. Tidak cukupkah lagi iktibar daripada apa yang berlaku di Syria dan negara-negara lain yang bergolak seolah-olah tidak penghujungnya.

“Sebelum ini saya pernah terlibat dalam misi menghantar bekalan makanan kepada penduduk Syria. Saya amat pelik apabila mereka menyimpan dengan elok kotak-kotak bekalan makanan yang diagihkan.

“Saya bertanya: ini jawapan mereka , bila semua makanan habis, kotak itu boleh direbus untuk dijadikan makanan…Allahuakbar sedih yang amat sangat saya pada waktu itu,” katanya.

AHMAD TARMIZI ABDUL RAHIM ialah mantan Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia
Berpengalaman luas sebagai wartawan, beliau kini menulis di pelbagai platform

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *