Home » Analitis » Umat menderitai penyakit wahan

Umat menderitai penyakit wahan

SERBIA-SYRIA-PROTEST

Tragedi dan konflik yang berterusan melanda umat Islam masa kini amatlah mendukacitakan kita semua. Peristiwa perbalahan dan persengketaan sesama umat Islam yang berlaku di Syria dan terbaru di Mesir hanya menyerlahkan betapa bobroknya keadaan umat Islam masa kini.

Dalam suasana sebegini kita pasti tertanya-tanya apa sebenarnya terjadi kepada umat Islam yang suatu ketika begitu digeruni dan dihormati kawan mahupun lawan. Apa sudah jadi dengan kehebatan umat Islam yang dulunya begitu menyerlahkan prinsip kesatuan dan perpaduan sebagaimana diperintahkan al-Quran.

Lebih mendukacitakan apabila umat Islam begitu mudah diperlekeh dan terus diperkotak-katikkan dan diperlakukan sesuka hati oleh musuh-musuh Islam yang tidak lagi gentar dan gerun kepada umat yang pernah menguasai dua pertiga dunia suatu ketika dulu.

Mungkin benarlah apa pernah digambarkan Rasulullah SAW pada satu ketika: “Akan tiba satu masa di mana seluruh umat hampir mengelilingi kamu seperti mereka mengelilingi hidangan makanan. Seorang sahabat bertanya. “Adakah kerana bilangan kami pada waktu itu sedikit hingga boleh diperlakukan sebegitu rupa?”

Baginda menjawab, “Tidak, bahkan bilangan kamu pada hari itu ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di lautan. Pada saat itu ALLAH akan mencabut perasaan gerun dari hati-hati musuh kamu dan tersemat di dalam hati-hati kamu penyakit ‘wahan’”. Lalu sahabat bertanya lagi, “Apakah yang dimaksudkan dengan ‘wahan’ itu ya Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Wahan ialah sikap cintakan dunia dan takutkan mati” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad dari Thawban).

Sememangnya gambaran hadis ini sudah pun terjelma dalam realiti umat Islam kini. Penindasan yang berterusan ke atas umat Islam bukan kerana mereka sedikit. Bahkan berdasarkan maklumat CIA Fact Book bilangan umat Islam seluruh dunia sudah melebihi 2 bilion atau satu perlima penduduk dunia iaitu kedua terbesar selepas Kristian. Walau bagaimanapun bilangan yang ramai sahaja tidak memadai jika kualitinya umpama buih yang mudah berkecai tatkala dilambung ombak dan dihempas badai ke tepian.

Apa yang pasti berlakunya pelbagai konflik kemanusiaan yang semakin berleluasa adalah kerana umum mengetahui negara-negara Islam termasuk organisasi antarabangsanya seperti OIC tidak berupaya melindungi mereka.

Usahkan mengambil tindakan ketenteraan, sekadar memutuskan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang menyokong tindakan penindasan ke atas umat Islam pun mereka tidak bersedia. Ia merupakan bukti nyata tentang ketandusan semangat solidariti umat seagama di kalangan negara-negara Islam kini.

Tidak sukar untuk mencari punca kepada segala kebejatan yang ada. Ia tidak lain dan tidak bukan kerana umat Islam rata-rata sedang menderitai penyakit wahan.

Natijah penyakit wahan ini sememangnya menggerunkan kerana dunia menyaksikan kelahiran umat baru berwatak kebinatangan yang begitu rakus pada dunia dan takut pada risiko.

Bagi yang rakus berpolitik misalnya, watak binatang politik sering kali menjelmakan manusia yang hilang kewarasan dan pertimbangan akal budi insani hingga tergamak mempertaruhkan maruah dan agama demi kuasa dan takhta.

Manakala manusia berwatak binatang ekonomi pula rakus terhadap kekayaan material sehingga sanggup melahap keuntungan tanpa kawalan halal-haram dan nilai-nilai moral serta etika. Kerakusan terhadap kebendaan jugalah yang menjelmakan manusia yang hanya mementingkan diri tanpa memikirkan natijah tindakan terhadap orang lain.

Kedua-dua sifat kebinatangan, sama ada dalam politik mahupun ekonomi inilah yang menghancurkan kualiti keinsanan yang selama ini kuat menunjangi dan menerasi keperibadian umat Islam.

Lantaran terlalu rakus kepada keduniaan umat tidak lagi sanggup diajak berjuang dan berkorban membela Islam kerana takut rugi, takut susah, takut jatuh, takut hilang pangkat dan takut macam-macam lagi.

Sikap mementingkan diri dan berlumba-lumba mengejar habuan duniawi juga sering kali memerangkap umat sehingga membudaya amalan cantas-mencantas, tikam-menikam, fitnah-memfitnah, cela-mencela dan mengadu-domba sehingga menjatuhkan martabat keinsanan dan maruah umat Islam sendiri. Sikap terlalu cintakan dunia ini jugalah yang akhirnya meruntuhkan solidariti dan memecahkan ikatan kesatuan umat Islam.

Begitulah malapetaka besar yang sedang menimpa umat ini lantaran terlalu mengagung-agungkan kekayaan dan kekuasaan tanpa berteraskan ketakwaan dan keimanan. Akhirnya lahirlah manusia berkualiti buih yang berbudaya foya-foya tetapi pengecut, hilang daya juang dan tidak berani menghadapi risiko.

Sumber daripada www.sinarharian.com.my.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *