Home » Langit Terbuka » Urusan 9 juta pendeposit di hujung jari dengan THiJARI

Urusan 9 juta pendeposit di hujung jari dengan THiJARI

KUALA LUMPUR – Lebih sembilan juta pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH) kini boleh memanfaatkan platform perkhidmatan digital dalam talian di laman web THiJARI yang dilancarkan pada 5 Februari.

Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, THiJARI yang telah selesai proses penambahbaikan akan lebih menjimatkan kos, sekali gus memberi kemudahan kepada para pendeposit.

Menurutnya, menerusi perkhidmatan itu, pendeposit boleh menyemak akaun, mencetak penyata akaun, pindahan wang, perkhidmatan Haji dan urusan Kelab TaHa.

“Profil demografik TH menunjukkan lebih 45 peratus pendeposit adalah terdiri daripada generasi muda yang terdedah dan mahir dengan teknologi terkini.

“Golongan ini mempunyai ekspektasi tinggi dan kehendak mereka perlu diberikan pertimbangan wajar kerana mereka sering menggunakan teknologi untuk meluahkan pandangan masing-masing atas perkhidmatan yang diberikan.

“TH menggalakkan lebih ramai pendeposit TH menggunakan THiJARI pada tahun 2020 ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran THiJARI dan Kempen #SimpanDaftarDanMenang TH, di Menara TH Jalan Tun Razak di sini.

Untuk menggunakan perkhidmatan THiJARI, pendeposit perlu mengemaskini maklumat ahli termasuk nombor telefon bimbit di kaunter TH atau boleh terus melayari www.thijari.com.my jika sudah mengemaskini maklumat yang diperlukan.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, unjuran umat Islam di Malaysia pada tahun 2019 adalah 18.8 juta orang dan dianggarkan 53 peratus daripadanya belum menyimpan dan mendaftar haji di TH.

“Kempen #SimpanDaftarDanMenang yang dilancarkan TH dilihat mampu menarik lebih ramai umat Islam di Malaysia untuk membuka akaun di TH dan seterusnya mendaftar haji dan ia layak disertai semua pendeposit TH yang berumur 18 tahun ke atas.

“Bagi pendeposit sedia ada, mereka hanya perlu menambah simpanan sebanyak RM5,000 serta mengekalkannya dalam tempoh kempen dan pendeposit baharu perlu membuat simpanan minimum sebanyak RM5,000,” katanya. – Sinar Harian 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *