KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz berpandangan acara yang mempunyai unsur kemaksiatan tidak boleh dipandang ringan, malah wajib dicegah segera, selaras tuntutan agama.
Riz berkata, umat Islam diajar setiap kali melihat kemungkaran, wajib baginya untuk mengubah dengan tangannya perkara yang dianggap bertentangan itu.
“Jika tidak mampu, maka dengan lisan. Jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan itulah selemah-lemah iman,” kongsinya menerusi hantaran di Instagram (IG).
Suami kepada selebriti dan usahawan, Neelofa ini menjelaskan, prinsip digariskan Islam itu menjadi asas kepada individu Muslim dalam memainkan peranan mencegah perkara yang bertentangan dengan agama, khususnya apabila ia berlaku secara terbuka
PU Riz turut menegaskan, perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan lebih dibenci oleh Allah SWT berbanding yang dilakukan secara tersembunyi.
“Rasulullah SAW menyebut bahawa semua umatnya akan diampunkan kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Justeru, kita perlu ada sifat malu dan tidak berbangga dengan perbuatan maksiat,” kongsinya.
PU Riz mengingatkan agar masyarakat tidak menggadaikan kepentingan akhirat semata-mata demi keuntungan duniawi, terutama dalam penganjuran program yang boleh mengundang kemungkaran.
“Janganlah kerana keuntungan dunia, kita sanggup mengorbankan perkara yang melibatkan akhirat. Keseimbangan itu penting.
“Negara yang baik adalah negara yang menjaga nilai dan menjauhkan kemungkaran. Dari situlah datangnya keberkatan dalam kehidupan,” katanya.



KOMEN