Home » Citra Yadim » Usaha berstruktur ke arah perpaduan ummah

Usaha berstruktur ke arah perpaduan ummah

Dato' Aidit Ghazali, Pengerusi Yayasan Murni Akidah

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Ketiadaan gerak kerja yang sistematik dan kekurangan penguasaan ilmu di kalangan umat Islam merupakan antara faktor yang menjayakan agenda perpecahan umat yang digembleng oleh musuh Islam.

Demikian dinyatakan oleh Dato’ Aidit Ghazali, Pengerusi Yayasan Murni Akidah dalam sesi pembentangan kertas kerja yang bertajuk “Faktor-faktor Utama Pembentukan Perpaduan Kalangan Umat Islam Malaysia” di Muktamar Majlis Amal Islami (MAIM) yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Beliau membangkitkan persoalan apakah sebenarnya yang menghalang umat Islam untuk bersatu-padu? Sekiranya oleh musuh Islam, apakah sebenarnya kekuatan musuh Islam sehingga mampu melemahkan umat Islam. Hakikatnya, musuh kita tidak banyak perbezaan dengan kita tetapi kita yang memberikan kekuatan kepada mereka.

“Musuh kita menjadi kuat kerana kita berterusan berada dalam kelemahan dan kurang kesegeraan kepada penyelesaian ummah. Justeru, sudah tiba masa kita menfokuskan kepada usaha yang lebih bersifat terperinci, sistematik dan berstruktur”, kata beliau.

Beliau menambah, sudah tiba masa kita mempunyai virtual leader yang akan menjadi pencetus arah atau penasihat kepada puluhan badan bukan kerajaan Islam (NGO) yang memperjuangkan agenda Islam.

Dalam pada itu, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad turut membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Membina Kesatuan Sikap dalam Menghadapi Cabaran Semasa Terhadap Islam di Malaysia.”

Beliau menegaskan bahawa sekarang bukan masa untuk beretorik tetapi menggerakkan usaha yang serius ke arah perpaduan. Selain daripada itu, pemimpin di semua peringkat tanpa mengira ideologi politik perlu berlapang dada dan mengenepikan kepentingan peribadi ke arah merealisasikan perpaduan ummah.

Satu sesi forum bertajuk “Dilema Perpaduan Politik Melayu di Malaysia; Apa Penyelesaiannya?” turut diadakan dengan ahli-ahli panelnya terdiri daripada YB Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Dr. Mohd Zuhdi Marzuki, Pengarah Operasi (COO), Pusat Penyelidikan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan YBhg. Tuan Haji Abdullah Zaik Abd. Rahman, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Manakala moderatornya adalah Tuan Haji Aminuddin Yahaya, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Muktamar yang disertai oleh hampir 1,000 orang peserta pelbagai latar belakang ini telah dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *