Home » Persuasif » Usaha keluar daripada kemiskinan

Usaha keluar daripada kemiskinan

Oleh: MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID

Kita telah pun melewati perayaan  permulaan tahun baharu dalam kalendar hijrah, suatu tarikh yang merupakan langkah perubahan besar dalam jiwa setiap orang Islam kerana penghijrahan dari Kota Mekah ke Madinah telah menghasilkan kemenangan besar agama pimpinan Nabi Muhammad SAW.

Saat penghijrahan ke Madinah juga telah menjadi asas penentu perkiraan kalendar Islam manakala struktur masyarakat yang terbina pula dikatakan sebagai model penyatuan kaum yang terhebat pernah muncul dalam peradaban manusia.

Asas kehidupan bermasyarakat pelbagai agama yang saling hormat dan berinteraksi secara harmoni itu kemudiannya diterjemahkan sebagai “masyarakat madani” atau civil society. Konsep civil society yang digagaskan oleh teori politik selepas keruntuhan empayar Islam adalah mengambil teladan daripada struktur sosial masyarakat Madinah, di mana penganut Islam tidak menzalimi penganut agama lain selagi mereka menghormati Islam.

Banyak hadis Nabi SAW yang memberi penilaian bahawa kemiskinan adalah satu penyakit berbahaya yang dikhuatiri meninggalkan kesan buruk ke atas akidah, akhlak dan pemikiran seseorang, malah kepada kaum itu sendiri. Penyakit ini mudah menonjol terutamanya dalam kalangan orang yang menghadapi kemiskinan yang teruk dan tinggal berhampiran dengan orang kaya yang buruk budi pekertinya serta kedekut yang amat sangat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kemiskinan menghampiri kekufuran. Hadis ini memberikan ingatan, bahawa orang akan menjadi kufur kerana pelbagai tekanan dan kesulitan ekonomi, persekitaran yang dibangunkan tidak memperluaskan peluang mencari rezeki.

Dari perspektif psikologi pula, ada kajian membuktikan ada kecenderungan kerana terpaksa, orang yang baik boleh bertukar menjadi kufur. Ia adalah suatu kemenangan besar bagi syaitan.

Kajian sosiologi juga mendapati, akibat kemiskinan menjadikan manusia mudah didipengaruhi pelbagai anasir negatif. Akibat kemiskinan juga, manusia adakalanya terpaksa berperang sesama sendiri demi sesuap nasi. Meskipun pengalaman ini tidak berlaku di Malaysia, ia tidak bermakna akan kekal selama-lamanya. Ia boleh berubah kalau rakyat silap memilih pemimpin. Pemimpin yang tidak tahu menghormati rakyat wajib ditolak, kerana pemimpin jenis ini sanggup lakukan apa sahaja untuk dilihat halal dan wajar.

Allah menjadikan bumi dan seluruh isi alam ini adalah untuk dinikmati oleh setiap orang. Tetapi disebabkan oleh segelintir manusia yang lebih menghargai kemenangan peribadi bagi membangunkan legasi tidak mempedulikan tanggungjawabnya kepada rakyat setelah memperoleh kedudukan.

Memilih pemimpin seperti itu merupakan sesuatu yang bakal mengundang tragedi, kerana pemimpin sedemikian tidak mudah menerima teguran dan mudah melontarkan kesalahan kepada orang lain. Banyak helah yang dicari, walaupun helah itu sebenarnya tidak dapat menyelamatkan kedudukannya dalam tempoh yang panjang.

Umat Islam wajib cemerlang dalam semua perkara (kecuali berbuat jahat dan mengumpul dosa) kerana manusia adalah makhluk yang akan menjalani kehidupan dunia dan akhirat. Kualiti hidup di dunia akan mencerminkan hasilnya di akhirat. Kejayaan di dunia memberikan ketenangan dan memisahkan nilai-nilai kemungkaran, kerana, ukuran kejayaan itu akan lahir menerusi tindakan berani melakukan perubahan.

Allah SWT telah mengingatkan manusia: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra‘d ayat 11). Maksudnya, perubahan itu mestilah bermula dari dalam diri manusia itu sendiri.

Islam tidak datang hanya untuk mengajarkan zikir dan doa tetapi untuk membebaskan manusia daripada beban penderitaan kepada hidup yang bahagia.

Membiarkan hidup terus dibelenggu kemiskinan tanpa berusaha mengatasinya adalah suatu dosa. Maka, pengundi Sungai Limau wajib mempertimbangkan keputusan sebaik-baiknya pada 4 November ini sebagai suatu tindakan yang benar-benar didorong oleh semangat hijrah, yang akan disambut keesokan harinya.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *