Home » Langit Terbuka » Usaha penting hubungan dunia Islam-Amerika Syarikat

Usaha penting hubungan dunia Islam-Amerika Syarikat

RIYADH 20 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat di sini akan memperbaharui dan memberi tenaga baharu kepada persahabatan serta menghasilkan hala tuju baharu untuk kerjasama, keselamatan dan persefahaman.

Perdana Menteri percaya persidangan yang bermula esok dan dianggap bersejarah oleh kerajaan Arab Saudi itu tepat pada masanya dan merupakan satu usaha pen­ting untuk membawa hubungan antara dunia Islam dan Amerika Syarikat ke tahap baharu.

“Melalui persefahaman yang lebih besar, negara-negara ber­kenaan boleh bekerjasama de­ngan lebih baik bagi menentang kejahilan, penyisihan dan rasa tidak puas hati yang boleh membangkitkan keganasan,” katanya.

Merujuk kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam persidangan itu, beliau berkata, Trump komited untuk menghapuskan Daesh.

“Begitu juga Malaysia di bawah kepemimpinan saya – sama juga melangkaui semua negara Islam pada sidang kemuncak ini,” katanya dalam artikel bertajuk ‘Ini adalah masanya untuk sebuah perkongsian memerangi keganasan’ yang diterbitkan dalam akhbar Saudi Gazette dan Al Riyadh.

Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini tengah hari tadi waktu tempatan bagi menerima unda­ngan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud untuk menghadiri sidang kemuncak itu yang dianggap bersejarah dengan kehadiran sulung Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump selepas mengambil alih White House Januari lalu.

Ketibaan Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Pangkalan Udara Raja Salman disambut oleh Naib Gabenor Riyadh, Putera Mohammed bin Abdulrahman.

Turut sama menyambut Perdana Menteri ialah Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin.

Terdahulu, Trump diberi sam­butan permaidani merah bersama isterinya, Melania Trump yang disambut oleh Raja Salman.

Selain Raja Salman, Trumph, beberapa pemimpin lain terma­suk Najib akan turut berucap mengenai isu-isu berkaitan ke­selamatan dan keganasan.

Mengulas lanjut dalam artikel berkenaan, Najib merasa amat gembira dapat menyertai persidangan disebabkan Malaysia turut senada dengan tujuan sidang itu untuk meningkatkan toleransi dan kewujudan bersama serta meningkatkan keselamatan, kestabilan dan kerjasama.

“Kita mesti menunjukkan bahawa kita sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan keganasan secara pantas dan tegas di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Kita tidak boleh menyerah kalah,” kata Najib yang akan turut berucap dalam persidangan itu.

Katanya, terpulanglah kepada semua yang hadir pada sidang kemuncak itu untuk menjalin kerjasama dan membuktikan sekali dan untuk semua, bahawa tidak ada pertembungan tamadun, de­ngan dunia Islam di satu pihak dan Barat di pihak yang lain.

“Kita semua – penganut semua agama – perlu bersatu, tegas, bertekad dan sedia bertindak,” tegas Perdana Menteri.

Beliau juga menjelaskan bahawa Malaysia komited sepenuh­nya untuk memerangi ancaman keganasan.

Di Malaysia katanya, bagi me­­ngukuhkan keharmonian, ke­rajaan telah mempromosikan konsep wasatiyyah, iaitu kese­derhanaan menurut al-Quran, dan usaha itu ditingkatkan lagi dengan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Kuala Lumpur.

“Selaku anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia menyokong sepenuhnya usaha PBB seperti pelan tindakan Setiausaha Agung dalam mencegah ke­ganasan, yang menggesa kepada perkongsian risikan dalam kala­ngan negara anggota,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *