Home » Aspirasi » Usahawan Mee Mahu Kembang Perniagaan Ke Tanah Suci

Usahawan Mee Mahu Kembang Perniagaan Ke Tanah Suci

Walaupun didiagnos dengan penyakit sakit tulang belakang yang teruk (Degenerative Lumber Prolapse) pada 1995 namun Md Sabidi Abdullah, 70, berjaya membuktikan kesakitan dan faktor umur bukanlah penghalang untuk beliau menjadi usahawan yang berjaya.

Md Sabidi yang kini mengusahakan restoran Mee Masjid bersebelahan Masjid Firdaus, Segambut dengan dibantu oleh dua orang anak lelakinya sejak 2010 itu berkata penyakit yang membuatkan beliau berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) itu bukan alasan untuk tidak bekerja.

Malahan lebih membanggakan, usaha gigih Md Sabidi mengusahakan perniagaannya walaupun menghadapi sakit kepala setiap kali bergerak terbukti menjadi inspirasi kepada semua apabila beliau dinamakan sebagai salah seorang Tokoh Usahawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada majlis Semarak Syawal MAIWP, awal Julai lalu.

Antara kejayaan beliau ialah melalui perniagaan mi yang dihasilkan sendiri di restorannya untuk para pelanggan dan pembeli tempatan di sekitar Kuala Lumpur, beliau kini mampu meraih keuntungan kasar sekitar RM19 ribu sebulan.

Kagum dengan kegigihan serta kejayaan Md Sabidi, penulis berkesempatan menemui beliau di restorannya baru-baru ini bagi berkongsi rahsia kejayaan di samping ingin melihat sendiri keunikan mi yang dihasilkan.

Keunikan Mi Masjid

Menceritakan mengenai resipi Mee Masjid yang menjadi tanda dagangannya, Md Sabidi berkata beliau menggunakan ‘bahan rahsia’ ketika mengadunkan kesemua bahan yang diperlukan untuk membuat mi mentahnya.

“Jika kita tanya pengusaha mi yang lain, mereka pasti akan jawab yang bahan yang digunakan untuk membuat mi sebenarnya lebih kurang sama sahaja iaitu tepung gandum, air, garam dan gula tetapi untuk resipi saya, saya turut menggunakan soda ash atau air abu buatan sendiri bagi memberikan rasa kelainan.

“Air abu ini akan membuatkan mi lebih tahan lama, lebih kenyal dan tidak mudah putus ketika proses pembuatannya. Saya bagaimanapun tidak menggunakan bahan batu kapur kerana jika kita lihat mi yang bertukar menjadi warna merah ketika dicurahkan kuah, bermakna mi itu terdapat batu kapur dan ianya tidak baik untuk kesihatan bagi jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, air abu dan produk mi buatannya dijamin selamat kerana dihantar beberapa kali untuk diuji kaji di beberapa makmal di Kelana Jaya dan Bangi bagi membuktikan beliau tidak menggunakan bahan-bahan kimia terlarang. Beliau turut berkata resipinya tidak menggunakan batu kapur walaupun kosnya sangat murah kerana tidak ingin membahayakan nyawa para pelanggannya.

Restoran Mee Masjid dibuka setiap hari bermula pukul 4 petang hingga 11 malam, kecuali Ahad. Sewaktu penulis datang menemui Md Sabidi, restoran itu mula dipenuhi pelanggan walaupun baru sahaja dibuka. Mengikut pengamatan penulis, restorannya itu boleh memuatkan sekitar 40 orang pelanggan dalam satu-satu masa.

Menurut salah seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Bard, 35, antara menu popular yang sering menjadi pilihannya ialah Mi Bandung Special. Terdapat bebola daging dan keju cair serta dilengkapi dengan kuahnya yang rasa manis-manis pedas, malahan harganya juga berpatutan iaitu RM10.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu bas turut berkata antara sebab lain membuatkan beliau gemar datang ke Restoran Mee Masjid ialah kerana layanan baik Md Sabidi dan pekerjanya terhadap pelanggan serta servisnya yang bersih dan pantas.

Berjaya Gapai Kejayaan

Md Sabidi turut berkongsi pengalaman jatuh bangunnya sebagai usahawan. Beliau memulakan perniagaan mee secara kecil-kecilan setelah beliau terpaksa berpencen secara sukarela sebagai pegawai bank akibat sakit tulang belakang yang dihidapinya pada 1995.

“Saya masih ingat waktu itu, saya ingin keluar dari lif namun saya tergelincir jatuh dan menyebabkan tulang belakang saya cedera teruk.

“Akhirnya saya terpaksa berhenti kerja pada 2002 akibat sering meminta cuti sakit, dan saya memulakan perniagaan mi ini disekitar kawasan perumahan saya bagi terus menanggung keluarga dan ketujuh-tujuh anak-anak saya yang masih lagi belajar ketika itu,” katanya.

Berbekalkan wang pencen sebanyak RM1,500 sebulan selepas persaraannya, beliau menggunakan duit itu untuk dijadikan modal perniagaannya serta bagi membeli mesin pemprosesan, mesin uli dan mesin merebus mee yang berharga sekitar RM5 ribu kesemuanya.

Setelah melihat perniagaan mee beliau yang semakin berkembang dan mendapat permintaan ramai dari sehari ke sehari, beliau berimpian untuk mengembangkan sayapnya. Beliau lalu meminta bantuan kewangan dari pihak MAIWP bagi membeli peralatan lain untuk memudahkan lagi proses pembuatan mi mentahnya.

“Pada tahun 2017, saya memohon bantuan kewangan daripada MAIWP sebanyak RM15,500 bagi membeli peralatan seperti meja dan kerusi, peti beku dan chiller. Melalui bantuan inilah perniagaan saya menjadi lebih berkembang dan maju berbanding peringkat awal perniagaan saya.

“Malahan saya sebagai usahawan berasa bersyukur kerana MAIWP sudi membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan asnaf. Nasihat saya supaya jangan mudah mengalah apabila kita susah kerana di sekeliling kita pasti akan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dan memberi semangat,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Md Sabidi memasang impian untuk membawa perniagaan mee mentahnya hingga ke tanah suci Makkah dan Madinah. Beliau mahu menjadi antara pembekal me mentah utama buat jemaah haji Malaysia di sana pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee ketika mengulas mengenai bantuan zakat Baitulmal MAIWP berkata inisiatif itu bukan hanya sekadar memberikan bantuan semata-mata namun terdapat objektif yang lebih besar dari itu.

“Selari dengan falsafah zakat itu sendiri, bantuan yang kita salurkan untuk asnaf yang layak untuk membantu mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan akhirnya mereka mampu menjadi pembayar zakat pula.

Beliau menambah, sejak 2018, pihak MAIWP berjaya melahirkan 10 orang usahawan daripada golongan asnaf yang berjaya menjana pendapatan sekitar RM4,000 ke RM24,000 sebulan.

Pihak MAIWP meletakkan sasaran untuk menggandakan jumlah itu kepada 100 orang usahawan pada tahun 2020. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *