Home » Langit Terbuka » USIM bantu OKU pekak kuasai tilawah al-Quran

USIM bantu OKU pekak kuasai tilawah al-Quran

NORAKYAIREE (kiri) sewaktu pelancaran buku al-Rasm al-Ishariy bagi memudahkan OKU pekak mendalami al-Quran di USIM, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini sambil disaksikan Rizalman (tengah).

DALAM usaha membantu dan menyantuni komuniti orang kelainan upaya (OKU) pekak mendalami al-Quran, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan sebuah buku berjudul al-Rasm al-Ishariy baru-baru ini.

Menariknya, buku tersebut bertujuan meningkatkan kecekapan asas golongan itu dengan menggunakan kaedah tilawah hasil bantuan aplikasi Quran Isyarat. Kewujudan aplikasi Quran Isyarat pertama dunia ini telah sempurna dilancarkan pada tahun 2022 dan telah mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records. Aplikasi ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Tilawah dan Terjemahan dan ia boleh diakses secara percuma melalui platform Android dan IOS.

Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM, Prof. Madya Dr. Norakyairee Mohd. Raus berkata, buku tersebut adalah hasil kajian geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) di bawah dana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ujarnya, ia bertujuan meneroka fon isyarat Kod Tangan Quran bagi membantu komuniti OKU pekak membaca al-Quran berasaskan kekuatan visual dan potensi pembelajaran mereka.

“Kaedah tilawah yang unik dengan menggunakan isyarat Kod Tangan Quran dan Transliterasi Makhraj ini boleh diakses oleh OKU pekak di seluruh dunia.

“Sementara itu, inovasi inklusif yang melibatkan terjemahan dengan sokongan video Juru Bahasa Isyarat Malaysia (JBIM) dan teks terjemahan mesra OKU pekak disampaikan dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

“Ia hanya dapat difahami oleh komuniti istimewa itu di Malaysia,” katanya.
Menurut pandangan Jumhur Fuqaha’, penggunaan isyarat dianggap sah dan boleh menggantikan lafaz bersuara dalam menentukan hukum-hukum tertentu.
Jelasnya, keistimewaan tilawah untuk komuniti OKU pekak dapat didefinisikan sebagai cara membaca al-Quran tanpa menggunakan suara.

Ujarnya, sebaliknya golongan itu akan melakukan isyarat untuk setiap huruf-huruf al-Quran (Rasm Uthmani) berdasarkan Kod Tangan Quran yang mewakili setiap huruf tersebut.

“Penggunaan isyarat Kod Tangan Quran ini telah diselaraskan dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), Kementerian Dalam Negeri semasa mesyuarat pada 27 hingga 29 Julai lalu,” ujarnya.

Semasa pelancaran buku itu, turut hadir ialah Pengasas Dar Al-Qari Resources, Datuk Rizalman Ibrahim yang merupakan penyumbang dana kepada Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM yang menempatkan Pusat Penyelidikan Ummi Maktum (UMMI) itu sekali gus menyumbang dana untuk buku tersebut.

Menurut satu kenyataan USIM, terdahulu, USIM telah menerima dana Pembangunan Penyelidikan Pengajian Islam daripada Rizalman.

Melalui jalinan kerjasama ini, sebagai permulaan USIM akan mendapat tajaan melalui geran penyelidikan berkaitan cabang ilmu Pengajian Islam serta bidang-bidang lain yang akan dimuktamadkan untuk tempoh dua tahun berjumlah RM100,000. Selain itu, turut mendapat tajaan biasiswa adalah dua orang pelajar siswazah yang meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun buku mengikut surat tawaran selama 8 semester berjumlah RM21,842, di samping mewujudkan peluang kerjasama antara universiti dan agensi meliputi kerjasama penyelidikan, biasiswa kepada pelajar USIM dan perkongsian kepakaran dan ilmu di bawah Projek Rimba Tarim.

Kolaborasi ini telah terjalin bermula sejak 14 Mac 2023 di mana seramai 15 orang pelajar Pengajian Islam dari lima universiti awam menjadi penerima biasiswa tajaan Dar Al Qari Resources dan Yayasan RI.

Selaku ‘brain child’ Al-Qari, Rizalman melalui Yayasan RI telah menyuntik dana permulaan sebanyak RM1 juta sebagai tanda komitmen beliau dalam usaha Pembangunan dakwah ini bagi memastikan ia berjaya dari aspek perancangan, perlaksanaan dan objektif penubuhan Al-Qari.

Penerbitan buku itu diharap mampu dimanfaatkan oleh kumpulan sasar yang terdiri daripada komuniti OKU pekak, ibu bapa, Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain agensi berkeperluan.

Turut merakamkan penghargaan terhadap usaha dan penerbitan buku berkenaan ialah Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) dan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH).

Jelas Norakyairee, hampir lima bulan setelah kajian penyelarasan penggunaan Isyarat Kod Tangan Quran dijalankan, ia berjaya mendapat kelulusan LPPPQ.

Menurutnya, pasaran buku itu terbuka kepada semua komuniti OKU pekak, ibu bapa dan guru-guru sama ada di sekolah arus perdana atau program guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), JAKIM di Malaysia.

“Awal tahun hadapan, kita telah menerima jemputan daripada Universiti Sultan Sharif Ali, Brunei untuk melatih warga mereka dan masyarakat awam di negara itu.

“UMMI berharap agar usaha membudayakan al-Quran dalam kalangan OKU ini akan terus mendapat sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak khususnya di BPKhas, Kementerian Pendidikan Malaysia, JAKIM dan JAIN.

“UMMI merupakan platform dalam menerajui integrasi Pendidikan Islam Pendidikan Khas.

“Mereka komited bekerjasama dan menjadi rakan strategik pelbagai pihak khususnya Majlis Agama Islam Negeri dalam penyaluran dana khas bagi kajian dan pembangunan inovasi inklusif ke arah memperkasa komuniti OKU di seluruh negara,” ujarnya.

Berkongsi mengenai cabaran sepanjang menerbitkan naskhah tersebut, Norakyairee menyifatkan, ia datang dari sudut eksplorasi potensi dan kekuatan komuniti OKU pekak mempelajari al-Quran dengan meraikan ketidakupayaan mereka.

Menutup kata, Norakyairee memaklumkan, pihaknya juga merancang untuk menghasilkan Mushaf Quran Isyarat Standard Malaysia, al-Quran bercetak tanpa tanda baris (Dabt).

Ujarnya, naskhah tersebut bagi keperluan dan memudahkan komuniti OKU pekak membaca kitab suci itu.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *