Home » Langit Terbuka » Washington penipu!

Washington penipu!

PARIS 23 Dis.  – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, negaranya tidak lagi menerima sebarang inisiatif dari Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada proses damai di Timur Tengah sambil melabel Washington sebagai penipu.

“AS telah terbukti sebagai pengantara yang tidak jujur dalam proses damai dan kami tidak akan menerima apa-apa rancangan dari mereka,” kata Mahmoud selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Paris, semalam.

Mahmoud turut mengutuk tindakan Presiden AS, Donald Trump yang mengugut untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang menyokong draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  berhubung isu Baitulmaqdis.

Draf resolusi itu mendesak AS menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sementara itu, Macron berkata, negaranya tidak akan mengikuti jejak langkah AS sambil menegaskan Perancis tidak terburu-buru mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, sebaliknya akan mengumumkan pendirian mereka pada masa yang tepat.

Macron juga mengumumkan bahawa beliau akan membuat lawatan ke wilayah Palestin pada tahun hadapan.

Kelmarin, satu resolusi yang menggesa Washington menggugurkan pengiktirafannya berkaitan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel telah diluluskan dalam sidang tergempar khas Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara, dengan 128 undi menyokong, sembilan menentang dan 35 berkecuali.

Resolusi itu menegaskan pendirian tetap PBB berhubung kedudukan kota suci berkenaan sejak 1967.

Pendirian tersebut menyatakan bahawa status muktamad Baitulmaqdis hendaklah diputuskan menerusi rundingan terus antara Israel dan Palestin.

Trump sebelum ini telah mengancam untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang mengundi menyokong resolusi itu. –  Press TV, SINARHARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *