Home » Citra Yadim » YADIM mampu bantu santuni permasalahan belia dan masyarakat

YADIM mampu bantu santuni permasalahan belia dan masyarakat

Fuziah (tengah) ketika sesi taklimat bersama pengurusan kanan YADIM

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dengan kekuatan anggota sukarelawan dan jentera lapangannya, mampu bergerak jauh menyantuni permasalahan di peringkat belia dan masyarakat khususnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Fuziah Salleh berkata, beliau melihat kemampuan YADIM melaksanakan usaha tersebut selepas mendengar taklimat sempena lawatan kerja beliau ke badan dakwah ini hari ini (14 Januari).

Ia merupakan kali kedua beliau ke YADIM, selepas dilantik menjawat jawatan tersebut. Program pertama beliau bersama badan ini ialah  Majlis Graduan Felo Muda Dakwah pada 4 Julai lalu.

“Saya membesar dengan ini (gerak kerja dakwah), jadi saya memang teruja melihat dan mendengar pembentangan ini. Golongan sasar dakwah YADIM ini luas, kalua kita lihat sasaran pada kepimpinan (belia) itu bagus, akan tetapi jangan lupa pada permasalahan mereka.

“Apabila kita mendekati kepimpinan, ia bagus kerana ia mampu mencungkil bakat, tapi pada masa yang sama jangan tertinggal kelompok bermasalah. Kalau kita lihat masalah terbesar belia ialah gejala sosial dan sebagainya. Justeru ini pandangan awal saya, mungkin YADIM boleh tumpu selepas ini pada aspek pencegahan dan pemulihan,” katanya semasa memberi maklum balas pada taklimat yang diberikan kepada beliau oleh Pengurus Besar Pengurusan dan Kewangan YADIM, Tuan Redhaudin Kamaruzaman.

Hadir sama dalam sesi taklimat itu ialah Yang Dipertua YADIM, Y.Bhg Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, Timbalan Yang Dipertua YADIM, Y.Brs Ustaz Zolkharnain Abidin, Pengurus Besar Operasi YADIM, Mohd Khairrul Fuad Samsuddin serta kepimpinan tertinggi badan ini.

Antara yang disentuh dalam sesi taklimat itu termasuklah mengenai gerak kerja, organisasi, visi dan misi serta cabaran serta isu isu yang dihadapi YADIM.

Sementara itu, Fuziah turut mencadangkan YADIM menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjalankan kerja dakwahnya.

KBS ujar beliau sudah tentu mempunyai strategi dan rancangan menyantuni permasalah belia, justeru sinergi antara kedua pihak sudah tentu memberi impak yang lebih besar.

Fuziah menambah, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai gerak kerja dakwah sebelum ini.

“Tetapi saya berpandangan, YADIM ada kekuatan dan peranan yang lebih sesuai dalam hal ini, begitu juga dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Mereka ada kakitangan yang laksanakan tugas ini, tetapi YADIM ada kelebihan mempunyai sukarelawan lapangan seperti Sahabat YADIM dan Sukarelawan Al Falah“ katanya.

Beliau turut menyarankan supaya YADIM mengadakan lebih banyak kerjasama dengan badan korporat yang banyak menyumbang kepada dakwah.

Menyentuh mengenai latihan untuk kakitangan, YADIM menurut beliau boleh mengadakan kerjasama dengan JAKIM untuk menggunakan kemudahan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Fuziah yang meluangkan masa selama dua jam di YADIM, turut mengambil kesempatan menandatangani buku pelawat serta mengadakan perbincangan bersama Nik Omar sebelum sesi taklimat.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *