Home » Citra Yadim » Yadim raikan Aidil Fitri bersama Saudara Kita

Yadim raikan Aidil Fitri bersama Saudara Kita

KUALA LUMPUR 11 Julai – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah mengadakan beberapa program bagi meraikan golongan Saudara Kita (muallaf) menyambut Aidil Fitri  di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

Pada Hari Raya pertama,Yadim Zon Sarawak telah menganjurkan solat sunat Aidil Fitri bersama Saudara Kita di Kampung Jaong, Seri Aman, Sarawak.

Gema takbir raya pada tahun ini telah menjadi kenangan manis buat seluruh masyarakat Islam di perkampungan berkenaan  kerana ia telah diadakan buat pertama kalinya dan ini sekaligus memberikan pengalaman pertama mereka meraikan hari yang penuh keberkatan itu.

Solat sunat Aidil Fitri dan khutbah telah dipimpin oleh Daie Yadim, Mohd Wardi Azman yang antara lain menekankan kepentingan menyambut Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan.

Sejurus selepas solat, masyarakat Islam di kampung berkenaan sebagaimana masyarakat Islam di tempat-tampat yang lain, telah mengunjungi rumah saudara-saudara kita yang lain bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Sementara itu, pada 10 Julai pula telah diadakan program pertama Ziarah Aidil Fitri di 11 buah rumah di Kampung Rosok, Kota Belud bersama dua Felo Muda Dakwah (FMD) Yadim iaitu, Khairul dan Fahmi.

Pada program itu, Yadim telah berbesar hati menyampaikan beberapa sumbangan kepada Saudara Kita di kampung berkenaan dan bantuan itu telah disampaikan oleh Pengurus Eksekutif Yadim Zon Sabah, Samin Ongki.

Dalam pertemuan dengan penduduk kawasan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Rosok,  Encik Jampat Liun telah menyampaikan hasrat penduduk kawasan berkenaan untuk dibina sebuah surau bagi kemudahan bersolat serta melakukan pelbagai aktiviti.

Pada masa kini, para penduduk yang ingin bersolat di masjid perlu bergerak lebih tiga kilometer untuk pergi ke masjid terdekat.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *