Home » Citra Yadim » YADIM sebar Rahmattan Lil Alamin

YADIM sebar Rahmattan Lil Alamin

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan berperanan dan bertanggungjawab menyebarkan konsep Rahmattan Lil Alamin, kata Yang Dipertuanya, Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, ia selari dengan hasrat kerajaan yang mahu mengaplikasikan konsep tersebut dalam urusan pentadbiran negara.

“Dalam pentadbiran , kita akan saling menasihati sesama agensi, kerajaan memang mahu laksanakan urus tadbir yang berdasarkan Islam, ia memang disebut sendiri oleh Perdana Menteri.

“Saya berpandangan, YADIM harus mengepalai perkara ini, bermula dengan diri saya sendiri” kata beliau semasa di wawancara secara langsung dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma TV Angkasapuri hari ini.

Nik Omar secara rasminya memulakan tugas di YADIM pada 20 Disember lalu selepas diumumkan pelantikannya oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf pada 14 Disember.

Dalam pada itu menurut Nik Omar lagi sekiranya dapat Islam itu disampaikan atau ditonjolkan sebagaimana dakwah Nabi Muhammad SAW dahulu, nescaya agama ini akan dapat diterima dengan mudah, walaupun oleh golongan bukan Islam.

Apabila ini dapat dicapai katanya, masyarakat Muslim akan merasai nikmat agama ini manakala yang bukan Islam pula akan dapat menerimanya, meskipun tidak memeluk Islam.

“Bagi yang bukan Islam, tidak memeluk agama ini bukan bermakna rezeki mereka disekat.

“Sebagai daie dan badan dakwah, YADIM bertanggungjawab menonjolkan bahawa Islam itu sendiri bermaksud amanah dan sejahtera, bukan perbahalahan dan kebencian,” jelasnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai tahun baru Masihi (2019)yang bakal tiba tidak lama lagi, beliau berkata, bukanlah dihalang untuk orang Islam menyambutnya, tetapi masing masing perlu tahu batasannya.

Jelas beliau, perkara yang menjurus ke arah maksiat dengan jelas perlu dielak, dan ini menjadi kewajipan semua dalam menyambutnya, baik oleh penganjur serta kepada mereka yang terlibat menyertainya.

“Di Tunisia contohnya, tahun baru ada disambut sebagai meraikan, menyambut keazaman baru pentadbiran kerajaan.

“Jadi dalam kita menyambutnya, jika tidak boleh dielak (perkara yang membawa keburukan)masing masing harus menahan diri,” kata beliau.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *