Home » Citra Yadim » Ziarah Rahmah Kampung Bumbok

Ziarah Rahmah Kampung Bumbok

PADAWAN – Seramai 80 orang komuniti Bidayuh di Kampung Bumbok di sini disantuni oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sarawak, dalam satu program bersama mereka di sini hari ini (14 September).

Program YADIM Peduli: Ziarah Rahmah di Kampung Bumbok itu bertujuan menyantuni dan meraikan penduduk di kawasan berkenaan, khususnya masyarakat Muslim dari kaum Bidayuh yang merupakan golongan minoriti di kawasan tersebut.

Selain Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, turut serta ialah Pengarah YADIM Sawarak, Awang Dulhadi Awang Mat, Pengerusi Saudara Kita Kampung Bumbok, Ustaz Sabri Wahid serta Daie YADIM kawasan tersebut, Ustaz Hazrul Shah Nahar.

Selain komuniti Bidayuh Muslim yang menghuni Kampung Bumbok, turut diraikan para pelajar yang cemerlang dalam kelas pengajian Islam anjuran YADIM kendalian Hazrul Shah.

Ia sebagai satu bentuk inisiatif kepada para pelajarnya agar tidak mudah berputus asa meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk hadir ke kelas. Tidak ketinggalan, komuniti bukan Islam yang menghadiri majlis turut diraikan dengan pemberian sedikit sagu hati.

Dalam pada itu, Zolkharnain dalam ucapannya melahirkan keyakinan, pusat komuniti itu akan berjaya memainkan peranannya sebagai tempat penganjuran, pertemuan dan pembelajaran untuk masyarakat Islam di sini.

Beliau turut yakin, para pelajar baik kanak kanak mahupun dewasa, akan dapat mengikuti pengajian Islam oleh Hazrul Shah dengan baik.

Zolkharnain turut mengajak hadirin untuk mengamalkan konsep rahmah serta menunjukkan teladan yang baik khususnya kepada jiran jiran bukan Islam agar agama ini dapat dilihat membawa kebaikan kepada semua.

Sabri pula mengucapkan terima kasih kepada YADIM yang konsisten dalam menjalankan program menyantuni masyarakat Islam dan atas kesudian hadir serta menganjurkan program pada hari ini.

Beliau juga memberikan serba sedikit penerangan tentang pusat komuniti Islam yang menjadi tempat penganjuran program.

Jelasnya, pusat tersebut walaupun baharu didirikan, namun telah berjaya dihidupkan dengan pelbagai aktiviti. Menurut beliau, solat tarawih dan ibadat korban juga telah berjaya dilaksanakan pada tahun ini dan pihaknya merancang untuk mengadakannya lagi pada tahun hadapan pada skala yang lebih besar.

Sebelum itu di Kuching, YADIM terlibat dalam penganjuran program Seminar Menyingkap Sejarah Islam Di Sarawak bertempat di Dewan Bandaraya Kuching Utara.

Program ini merupakan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia dengan kerjasama YADIM, Yayasan Taqwa, Wadah Sarawak, Pertubuhan Ansab Sarawak dan beberapa lagi organisasi.

Ia merupakan kesinambungan daripada seminar yang sama tahun lalu.

Hadir sama ke program ini ialah Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, Yang Dipertua ABIM Sarawak, Muhammad Hazim Azhari serta Awang Dulhadi.

Ianya bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai tentang sejarah penyebaran dan dakwah Islam di negeri ini.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *