Home » Persuasif » Sikap perkauman, diskriminasi, menebal di AS

Sikap perkauman, diskriminasi, menebal di AS

PENYOKONG calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan dan Demokrat lebih berkemungkinan mempunyai tanggapan bahawa orang Afrika-Amerika adalah ‘penjenayah’, ‘tidak cerdik,’ ‘malas’ dan ‘ganas’.

Bagaimanapun, lebih ramai daripada penyokong calon Presiden Parti Republikan, Donald Trump, berfikiran sedemikian berbanding penyokong calon Presiden Demokrat, Hillary Clinton, menurut tinjauan pendapat Reuters/Ipsos.

Menjelang pilihan raya presiden pada 8 November depan bagi menggantikan Presiden kulit hitam pertama AS, Barack Obama, tinjauan itu juga menunjukkan semakin ramai ahli Parti Republikan dan Demokrat mempunyai tanggapan sedemikian terhadap masyarakat Afrika-Amerika, agak risau untuk tinggal di kawasan masyarakat pelbagai kaum serta bimbang dengan dasar yang dianggap diskriminasi terhadap kulit putih.

Lebih ramai anggota Republikan juga mempunyai kebimbangan itu berbanding ahli parti Demokrat. Malah, penyokong Trump adalah paling lantang memandang serong orang kulit hitam.

Tinjauan itu dijalankan pada Mac hingga Jun lalu dan menemuramah 16,000 warga AS dengan mengemukakan 21 soalan mengenai sikap mereka mengenai isu kaum. Peninjau mendapatkan respon daripada pengundi yang menyokong Trump, Clinton dan Senator Bernie Sanders yang tewas kepada Clinton.

Ia juga mendapatkan pandangan penyokong Senator Ted Cruz dan Gabenor Ohio, John Kasich, dua lawan yang kalah dalam persaingan untuk menjadi calon presiden kepada Trump.

“Trump percaya bahawa beliau menyokong dan melindungi semua orang secara saksama,” kata penasihat dasar Trump, Stephen Miller, ketika ditanya mengenai keputusan tinjauan berkenaan.

“Perkara ini amat berbeza dengan Hillary Clinton yang dasarnya membawa bencana kepada masyarakat Afrika-Amerika dan Hispanik,” katanya lagi.

Anggap warga Afrika-AS ‘lebih ganas’

Jurucakap Clinton, bagaimanapun, enggan memberi ulasan mengenai keputusan tinjauan berkenaan. Selain itu, hampir separuh daripada penyokong Trump menganggap warga Afrika-Amerika sebagai ‘lebih ganas’ berbanding kulit putih.

Kadar yang sama menyifatkan warga Afrika-Amerika lebih ‘cenderung menjadi penjenayah’ berbanding kulit putih manakala 40 peratus daripada mereka menggelar golongan berkenaan lebih malas daripada kulit putih.

Kadarnya lebih rendah dalam kalangan penyokong Clinton, tetapi daripada angkanya masih tinggi dan mereka lebih kritikal daripada warga kulit putih apabila menyamakan masyarakat kuli hitam dengan perilaku tertentu.

Hampir satu pertiga penyokong Clinton menganggap orang kulit hitam ‘lebih ganas’ dan ‘suka melakukan jenayah’ berbanding kulit putih manakala satu suku menggelar masyarakat itu lebih malas daripada kulit putih.

Bagaimanapun, Clinton lebih banyak bergantung harap kepada sokongan kulit hitam untuk membantunya ke Rumah Putih dan kemenangannya ke atas Sanders sebahagiannya disebabkan sokongan besar masyarakat itu.

Apabila ditanya di mana mereka mahu tinggal, hanya 36 peratus penyokong Trump berkata: “Saya lebih suka tinggal di kawasan masyarakat pelbagai budaya.” Dalam kalangan penyokong Cruz, angkanya 46 peratus, 55 peratus bagi penyokong Kasich dan 70 peratus penyokong Clinton.

Utama masyarakat minoriti

Penyokong Trump juga lebih kritikal terhadap dasar affirmative action yang mengutamakan masyarakat minoriti dari segi pengambilan pelajar di sekolah atau tempat kerja. Sebanyak 31 peratus penyokong Trump bersetuju bahawa dasar sosial seperti itu satu diskriminasi terhadap orang kulit putih berbanding 21 peratus penyokong Cruz, 17 peratus penyokong Kasich dan 16 peratus penyokong Clinton.

Sememangnya, tidak semua penyokong Trump berfikiran negatif terhadap kulit hitam. Tidak lebih 50 peratus penyokongnya memandang negatif orang kulit hitam atau dalam mana-mana daripada enam perilaku yang disebut dalam tinjauan.

Tetapi, apabila jawapan mereka dibandingkan dengan respon penyokong calon lain, penyokong Trump selalunya lebih kritikal terhadap orang kulit hitam dari segi perilaku personaliti, mengikut analisis tinjauan.

“Sokongan kepada Trump adalah petanda kepada bentuk dasar yang beliau mahu laksanakan,” kata Profesor Lawrence Brown di Universiti Morgan State, Baltimore, yang menulis mengenai isu perkauman dan menyokong Sanders. Mei lalu, Obama diaporkan sebagai berkata bahawa hubungan kaum di AS sudah semakin baik sejak tiga dekad lalu tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.

Isu kaum mendapat tempat utama dari segi politik sejak dua tahun lalu ketika banyak bantahan meletus di seluruh negara itu berhubung layanan terhadap penduduk Afrika-Amerika, jurang besar ekonomi antara kulit hitam dan kulit putih selain cabaran terhadap dasar bantuan masyarakat minoriti serta hak mengundi.

Tinjauan itu turut meminta responden memberi gred terhadap beberapa perilaku peribadi orang kulit putih dan kulit hitam. Keputusan yang diterima kemudian dianalisis bagaimana kedua-dua pihak menggred kaum satu lagi.

Dalam hampir setiap kes penyokong Trump menggred kulit putih lebih tinggi daripada kulit hitam meliputi 32 peratus, termasuk dalam aspek kecerdikan, berbanding 22 peratus penyokong Clinton.

Selain itu, 40 peratus penyokong Trump meletakkan orang kulit putih lebih kuat bekerja daripada kulit hitam berbanding 25 peratus penyokong Clinton dan 44 peratus penyokong Trump meletakkan kulit putih lebih sopan berbanding kulit hitam, manakala 30 peratus penyokong Clinton berpendirian sama. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *