Home » Langit Terbuka » Pantau rapi Malaysiakini – Jati

Pantau rapi Malaysiakini – Jati

KUALA LUMPUR 11 Julai – Portal berita propembangkang, Malaysiakini wajar dikenakan tindakan tegas serta dipantau rapi kerana tindakan portal tersebut yang sering menyiarkan artikel bersifat provokasi yang boleh memecah-belah rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berkata, terdapat kandungan berita serta komen daripada pembaca yang disiarkan dalam portal tersebut didapati boleh menggugat perpaduan antara agama yang dikecapi negara.

Malah, beliau berkata, pihaknya khuatir dengan agenda sebenar Malaysiakini menyiarkan artikel akhbar Bangladesh, The Daily yang mengaitkan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik dengan keganasan.

“Malaysiakini seolah-olah mempunyai agenda tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan sedia ada, malah kebanyakan maklumat yang di­siarkan dilihat tidak membantu menjana kepada perpaduan dan penyatuan pemikiran rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak memberi jaminan akan menggunakan segala perundangan yang ada ke atas Malaysiakini kerana menyiarkan artikel serta komen pembaca bersifat biadab yang menyinggung sensitiviti umat Islam.

Malaysiakini pada Selasa lalu memetik laporan The Daily yang mendakwa salah seorang suspek dalam insiden keganasan di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini, Rohan Imtiaz menulis di Facebook tahun lalu menyatakan Zakir menggesa semua umat Islam untuk menjadi pengganas.

Walau bagaimanapun, selepas tindakan tersebut dikecam pelbagai pihak, Malaysiakini hanya sekadar tampil memohon maaf tanpa memberi sebarang jaminan bahawa perbuatan sedemikian tidak akan diulang pada masa hadapan.

Sementara itu, Mohd. Zainul Fithri turut mempersoalkan ketelusan laporan berita dikeluarkan Malaysiakini yang kononnya menganggap mereka merupakan sebuah portal bebas tanpa pengaruh dari sebarang parti politik.

“Jika kerajaan buat benda bagus mereka perlu laporkan dan jika tidak, cakap tidak bagus, namun mengapa apabila kerajaan buat benda baik, portal tersebut tidak pula melaporkannya jika benar portal itu bebas.

“Malah, mengapa dalam kes mahkamah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Malaysiakini tidak pula melaporkan secara terperinci jika benar mereka sebuah portal yang mengamalkan ketelusan,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, tindakan tegas perlu diambil bukan sahaja kepada Malaysiakini tetapi juga kepada mereka yang memberi pandangan atau komen mengaitkan Islam dengan keganasan dalam portal tersebut.

“Pihak yang menimbulkan pelbagai perselisihan, pertikaian dan permusuhan antara agama serta mengusik sentimen sensitif umat Islam atau penganut agama lain adalah pihak yang mempunyai pemikiran dan psikologi yang tidak betul,” katanya.: https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *