Home » Persuasif » Ancaman pelampau Syiah

Ancaman pelampau Syiah

Oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah

SYIAH, antara sebahagian kumpulan dalam Islam berpotensi memberikan ancaman terhadap keselamatan negara. Di Bahrain, negara majoriti Syiah, pihak berkuasanya telah memenjarakan beratus-ratus pelampau Syiah sejak 2011 yang menentang kerajaan dan melakukan serangan bersenjata serta bom ke atas pihak berkuasa.

Terdapat kes 60 pengikut Syiah dituduh di mahkamah kerana ‘membentuk kumpulan pengganas Syiah’, dilatih menggunakan senjata dan bahan letupan untuk melancarkan serangan pengganas serta berusaha membunuh anggota polis. Pada 25 Mei 2017, 17 pelampau Syiah didapati bersalah atas kesalahan berkaitan keganasan. Di Yemen pula, dianggarkan serama 25-30 peratus populasi adalah Syiah Zaydi (berbeza dengan Syiah Imam 12) dan hidup aman damai dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) berabad-abad lamanya. Namun begitu, perkembangan Syiah Houti sejak pemberontakan wilayah pasca-2000 dan cubaan menguasai politik Yemen pada awal 2015 melalui tindakan bersenjata telah mengubah landskap geopolitik semasa.

Di Iraq (majoriti Syiah) dan Syria (minoriti Syiah), dianggarkan terdapat 100 kumpulan militan Syiah dengan kekuatan dianggarkan seramai 60,000 orang. Dengan bantuan senjata, kewangan dan ketenteraan dari negara tertentu, militan Syiah ini berperang menentang Daesh tetapi juga membalas dendam, bertindak ganas dan kejam ke atas pengikut ASWJ di kedua-dua negara ini.

Syiah di Arab Saudi:

Antara militan terkenal adalah Kata’ib Hezbollah, Asa’ib Ahl Al-Haq, Kata’ib Sayyid Al-Shuhada, Briged Al-Muntazir dan Hash’d Al Shaabi.

Di Arab Saudi, dianggarkan seramai 10-20 peratus penduduknya Syiah dan sejak 2001, terdapat siri protes dan demonstrasi aman serta kemudiannya bertukar menjadi ganas, khususnya di wilayah Syiah di timur.

Pada 2 Januari 2016, Sheikh Nimr al-Nimr, pemimpin agama Syiah dihukum bunuh kerana mengetuai protes terhadap kerajaan, mengundang campur tangan luar dan memberontak terhadap kerajaan.

14 individu Syiah lain pula menghadapi tuduhan atas kesalahan berkaitan protes.

Pada Julai 2017 pula, empat pengikut Syiah di Awamiya, Qatif dihukum bunuh atas kesalahan keganasan iaitu terlibat dengan protes bertukar ganas dan menyerang polis.

Syiah di Mesir:

Julai 2012 menyaksikan pengikut Syiah dihukum penjara selama tiga tahun kerana menghina sahabat Rasulullah SAW dan menjadi satu sejarah kerana kali pertama pengikut Syiah dihukum atas kesalahan ini.

Perkembangan mutakhir menunjukkan semakin ramai pengikut ASWJ menjadi Syiah di Mesir, khususnya golongan muda, mengikuti pengajian di ‘Universiti Syiah’ di Lebanon, dan berpotensi mencetuskan kekacauan pada masa depan.

Syiah di Lebanon:

Di Lebanon pula, Kumpulan Hezbollah bertindak melalui ‘strategi serangan dan perlindungan’ untuk menyokong matlamat Syiah di Asia Barat. l Ia terlibat dalam serangan pengganas, pembunuhan terpilih, ‘penculikan untuk ditukarkan dengan militan Syiah’, selain terlibat dalam aktiviti kebajikan sosial.

Syiah di Azerbaijan:

Perjanjian Turkmanchai 1828 membahagikan pengikut Syiah kepada Iran dan Azerbaijan hari ini.

Selepas keruntuhan Kesatuan Soviet, umat Islam Azerbaijan (majoriti Syiah) menerima kemasukan pengaruh Islam ASWJ dari Turki, Salafi Wahabi dari Arab Saudi dan Syiah dari Iran.

Apabila beberapa rusuhan berasaskan pelampau agama berlaku, Kerajaan Azerbaijan kini mengambil berat tentang bahaya Syiah dan Salafi Wahabi yang berpotensi menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.

Syiah di Afrika Barat:

Dari segi sejarah kemasukan Islam ke Afrika Barat, tiada tradisi Syiah di negara seperti Nigeria, Ghana, Chad, Cameroon, Benin dan Togo.

Namun, pasca-Revolusi 1979 menunjukkan Syiah dieksport ke negara-negara ini dengan pelbagai bantuan dan sokongan.

Kini komuniti Syiah terbesar terletak di Nigeria dengan bandar raya Zaria, Nigeria menjadi tempat suci dan lokasi ibadat pengikut Syiah di Afrika Barat.

Ulama Syiah yang radikal, Ibrahim Zakzaky bertanggungjawab mencetuskan pertelagahan dan permusuhan Syiah-Kristian dan kematian sering berlaku akibat permusuhan ini.

Beliau mula melancarkan konfrontasi bersenjata dengan pihak kerajaan dan pada 14 Disember 2015, militan Syiah yang dipimpinnya menyerang konvoi tentera dan cuba membunuh Jeneral Tukur Buratai yang berakhir dengan 20 orang terbunuh.

Selain negara-negara ini, pengikut Syiah wujud sebagai ‘minoriti besar’ di negara seperti Indonesia, India, Pakistan, Afghanistan, Tajikistan, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, dan Algeria.

Malaysia mengikut sejarah dan tradisi adalah ASWJ dan mula ‘menerima Syiah’ pasca-1979 apabila sebahagian kecil Muslim terpengaruh dengan revolusi ini.

Kini, pengikut Syiah dianggarkan seramai 50,000 ke 60,000 orang, terdiri daripada warga asing (pelajar, peniaga, pedagang) dan orang tempatan (Syiah di Malaysia mendakwa mempunyai 1 juta pengikut).

Agak membimbangkan apabila Syiah ‘menerima sambutan’ dan semakin berkembang di beberapa buah universiti awam selain beberapa buah pusat pengajian tinggi swasta. Tanpa dasar yang jelas dan tindakan pembetulan bersesuaian oleh agensi agama dan pihak berautoriti, Malaysia bakal terdedah dengan konflik mazhab yang lebih serius pada masa hadapan.

PENGAJARAN

  1. Pengikut Syiah biasanya sengaja membesar-besarkan jumlah mereka untuk mendapatkan legitimasi dan ‘hak minoriti besar’.
  2. Ketaksuban pengikut Syiah terhadap ulama serta ‘Imam Ghaib’ mereka berpotensi mencetuskan kekacauan dan mengancam keselamatan negara.
  3. Seperti Daesh, Syiah di Asia Barat bermatlamat meluaskan pengaruh dan kuasa, menubuhkan Negara Islam dan menunggu Imam Mahdi (versi Syiah).
  4. Evolusi Syiah di negara bukan tradisi Syiah bermula daripada tawaran melanjutkan pengajian di negara Syiah, membentuk keluarga Syiah dan komuniti kecil, menawarkan ‘gula-gula’ seperti ‘kahwin mutaah’, bantuan ekonomi untuk menambah pengikut, menubuhkan pusat kegiatan, membina dan menguasai masjid, mendapat dana daripada pertubuhan dan perniagaan berasaskan Syiah, melakukan protes dan demonstrasi apabila semakin ramai serta berani melakukan tentangan bersenjata apabila semakin kuat.
  5. Pemantauan dan pencegahan Syiah daripada bertapak dan berkembang amatlah penting, khususnya Syiah Ghulat dan Rafidhah yang ekstrem. – www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *