Kenyataan media mengenai isu Baitulmaqdis

0
36

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru seluruh umat Islam di negara ini bersatu dan bersolidariti dalam menghadapi isu Baitulmaqdis yang diisytiharkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,  sebagai ibu negara rejim Israel yang baharu.

YADIM menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri terhadap isu ini dan meminta seluruh umat Islam di Malaysia berdoa demi kesejahteraan Palestin serta menyatakan sokongan penuh terhadap perjuangan mereka menentang rejim Zionis.

YADIM  mengutuk keras tindakan Trump itu, yang  disifatkan sangat biadap dan tidak menghormati undang-undang antarabangsa sehingga boleh menjejaskan usaha damai yang sedang diusahakan dan menyebabkan rantau berkenaan terus tidak stabil.

Apa yang jelas, pengisytiharan itu tidak dipersetujui oleh semua pihak termasuk para pemimpin negara-negara Eropah kerana ia melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, dan tentu sahaja mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia.

Keadaan itu sebenarnya akan menjadikan rantau berkenaan bertambah tegang dan tidak memberi impak positif langsung kepada usaha-usaha perdamaian yang diusahakan selama ini.

Status Baitulmaqdis seharusnya tidak ditentukan oleh sesebuah negara itu sahaja, sebaliknya Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia perlu melihat semua aspek dalam membuat keputusan tersebut termasuk dari soal keselamatan dan persetujuan dari semua pihak yang terlibat.

Sesungguhnya, Baitulmaqdis adalah sebuah kawasan yang suci dan istimewa oleh penganut Islam, Yahudi dan Kristian dan justeru itu, ia perlu dikekalkan sebagai sebuah kawasan yang aman dan terhindar daripada isu-isu yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan.

 

Dr Yusri Mohamad

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

7 Disember 2017

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here