Home » Langit Terbuka » Fahami konsep ‘halalan toyyiban’ sebelum masuk restoran

Fahami konsep ‘halalan toyyiban’ sebelum masuk restoran

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan mereka memahami konsep ‘halalan toyyiban’ yang diterapkan dalam ajaran Islam sejak sekian lama. - Foto The Star

KUANTAN – Rakyat negara ini khususnya beragama Islam seharusnya mempunyai kesedaran tinggi dan memahami konsep ‘halalan toyyiban’ bagi memastikan mereka mengambil produk atau hidangan yang diyakini status halal serta kebersihannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, umat Islam perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan mereka memahami konsep ‘halalan toyyiban’ yang diterapkan dalam ajaran Islam sejak sekian lama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, tidak semestinya sesebuah restoran yang memaparkan papan tanda ‘no pork’ dan ‘no alcohol’ itu menyediakan hidangan halal lagi baik atau halalan toyyiban.

“Bagi memastikan sesuatu hidangan itu bersih dan suci, maka persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu amat penting. Menjadi tanggungjawab kepada seluruh umat Islam untuk memahami perkara ini.

“Kita tidak boleh memaksa semua restoran untuk mendapatkan persijilan halal tetapi tanggungjawab umat Islam untuk mencari sendiri dan memastikan bahawa makanan yang mereka ambil itu dikategorikan sebagai ‘halalan toyyiban’,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita di Pantai Cherok Paloh di sini.

Beliau diminta mengulas isu kebanyakan restoran Jepun dan Korea di negara ini yang diragui status halalnya seperti disiarkan dalam laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini.

Laporan eksklusif itu mendedahkan masih ramai rakyat yang tidak menyedari kebanyakan restoran asing khususnya menawarkan menu Jepun dan Korea yang kini menjadi kegilaan ramai termasuk orang Melayu tidak memiliki status halal. – Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *