Home » Analitis » Pembaharuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Pembaharuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Perubahan yang dialami oleh YADIM adalah merupakan suatu kemestian yang perlu dilakukan bagi memastikan yayasan ini kekal relevan dalam memainkan fungsi dan peranan yang telah digariskan.

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) merupakan sebuah yayasan yang diwujudkan pihak kerajaan sejak 1974 dengan bermatlamat, seperti mana yang termaktub dalam Surat Ikatan Amanah YADIM, untuk menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendukung amanah untuk memperkembangkan agama Islam secara khususnya dan kerja-kerja pendidikan, sosial, dan kebajikan di kalangan masyarakat Islam secara umumnya.

Selaras dengan peredaran masa, YADIM telah mengalami evolusi dari segi hala tuju, struktur dan operasi selama hampir 5 dekad kewujudannya. Perubahan yang dialami oleh YADIM adalah merupakan suatu kemestian yang perlu dilakukan bagi memastikan yayasan ini kekal relevan dalam memainkan fungsi dan peranan yang telah digariskan.

Sebagai sebuah yayasan yang ditubuhkan dan mendapat dana secara langsung daripada kerajaan, sememangnya YADIM mempunyai keunikan dari segi pengaruh dan operasinya. Dalam masa YADIM sebagai sebuah entiti yang mempunyai keterikatan tanggungjawab dengan dasar kerajaan, ianya bebas untuk beroperasi sebagai sebuah NGO yang tidak tertakluk dengan proses birokrasi biasa sebuah jabatan/agensi Kerajaan.

Hal ini telah mendedahkan YADIM kepada pelbagai risiko penyalahgunaan dan penyelewengan untuk sekian lama. Dalam era Malaysia baharu kini, YADIM tidak terlepas daripada tuntutan untuk memperbaiki kelemahan yang telah berakar selama ini.

Pelantikan YBrs Al Fadhil Ustaz Hj. Nik Omar Bin Nik Ab. Aziz sebagai Yang Dipertua (YDP) YADIM yang baharu oleh YAB Perdana Menteri telah dilihat sebagai keseriusan pihak kerajaan dalam meletakkan tokoh muda yang berkaliber dalam mengemudi sebuah yayasan yang sangat strategik dalam hal ehwal Agama Islam . Justeru, di bawah kepimpinan baharu ini, YDP telah menetapkan bahawa tempoh 3 bulan pertama kepimpinannya untuk menumpukan kepada usaha pemulihan (recovery), penjajaran (realignment), penstrukturan (restructuring) dan penumpuan (refocusing) hala tuju, struktur dan operasi YADIM secara keseluruhan.

Tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah sementelah YADIM telah berfungsi sejak hampir separuh abad dengan dikuasai oleh tampuk kepimpinan lama yang umum mengetahui kecenderungan hala tuju siasah mereka terutamanya lewat 10 tahun kebelakangan ini.

Bagi tujuan tersebut, YADIM amat memerlukan kepada tenaga berkemahiran dalam change management dan turn around management yang akan bertindak secara professional dan tidak terikat dengan budaya lama serta bebas daripada pengaruh politik. Inilah yang telah mendorong YDP untuk menggarap perubahan menyeluruh dengan memperkasakan struktur organisasi YADIM bermula dari atas hinggalah kebawah.

Kemasukan muka-muka baharu dalam struktur operasi ini bukanlah sesuatu yang asing bagi mana-mana organisasi termasuk YADIM sendiri sebelum ini. Bahkan kemasukan kali ini tidak sama sekali berasaskan kepada afiliasi politik, sebaliknya berdasarkan kepada merit kelayakan dan pengalaman luas yang dimiliki oleh mereka sama ada dalam sektor awam dan swasta.

Sebagai contohnya pelantikan Ketua Pegawai Operasi (COO) YADIM yang baharu adalah melibatkan pelantikan pegawai Kerajaan yang dipinjamkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bebas daripada sebarang kaitan politik selain mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran organisasi di dalam dan luar negara.

Berhubung dengan perkara ini juga, perlu dijelaskan bahawa sebarang pelantikan yang telah dilakukan adalah mengikut terma perkhidmatan yang biasa bagi YADIM tanpa melibatkan pertambahan jumlah perjawatan sedia ada dan tidak juga melebihi daripada siling peruntukan yang telah diberikan. Tuduhan yang mengatakan bahawa kepimpinan YADIM kali ini telah menggunakan dana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) untuk membiayai kos operasi YADIM adalah amat tidak berasas sama sekali.

Hal ini mungkin berbeza dengan Felo Muda Dakwah (FMD) yang telah diasaskan oleh kepimpinan YADIM sebelum ini dan telah menelan belanja lebih daripada RM11 juta ringgit sejak dilaksanakan. FMD yang telah diwujudkan di luar daripada perjawatan sebenar YADIM kini terpaksa dibiayai dengan menggunakan dana sumbangan MAWIP kepada YADIM yang sepatutnya boleh digunakan bagi tujuan aktiviti dakwah dan pembangunan Islam yang lain.

Dengan kos terkini lebih daripada RM1.74 juta bagi membiayai 30 orang FMD (anggaran RM58,000 dibelanjakan untuk melahirkan seorang FMD), yang dari segi peranannya diketahui oleh kakitangan sedia ada YADIM mempunyai fungsi politik kepartian sepertimana yang tular dalam beberapa siri kempen pilihanraya, adalah satu kewajipan bagi kepimpinan YADIM yang baharu untuk memperbaiki salah satu contoh kelemahan yang amat nyata ini.

YADIM kekal optimis walaupun dengan pelbagai kelemahan dan cabaran yang wujud di dalam dan luar organisasi, usaha untuk menterjemah dasar Kerajaan yang ingin membawa konsep Islam Rahmatan Lil Alamin secara praktikal akan dapat dijayakan. Antara critical success factor kepada kejayaan YADIM untuk memainkan peranan dan fungsinya adalah terletak kepada kemampuan YADIM untuk berhubung secara langsung dengan masyarakat akar umbi di setiap negeri selain daripada mewujudkan kolaborasi strategik dengan organisasi dan badan sedia ada.

Justeru, pewujudan pejabat YADIM di setiap negeri dalam era kepimpinan Ustaz Hj. Nik Omar Nik Ab. Aziz sebagai YDP YADIM akan memberikan kelebihan strategik kepada YADIM untuk memainkan peranan secara langsung dan proaktif di peringkat akar umbi. YADIM juga akan memperkukuh jalinan kolabrasi dan sinergi dengan Majlis-Majlis Agama Islam dan Jabatan- Jabatan Agama Islam di setiap negeri agar peranan YADIM sebagai peneraju dakwah di negara ini dapat diterima baik oleh semua Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri. Dengan izin Allah SWT dan disokong oleh Kerajaan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, pasukan pengurusan serta masyarakat, YADIM akan bergerak secara strategik bagi memastikan program-program yang dilaksanakan bukan lagi sekadar mengejar output seperti sebelum ini namun lebih jauh lagi ia akan mencapai outcome dan impak yang telah disasarkan.

DIKELUARKAN OLEH BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT YADIM
25 Rejab 1440H/1 April 2019M

 

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *