Home » Citra Yadim » Majlis Dakwah Negara- YADIM anjur Konvensyen Rakyat

Majlis Dakwah Negara- YADIM anjur Konvensyen Rakyat

Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Emeritus Dato' Dr Mahmood Zuhdi Ab. Majid (tengah) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

 

PUTRAJAYA 6 Feb. – Majlis Dakwah Negara- YADIM akan menganjurkan Konvensyen Rakyat: Menelusuri Akar Umbi ke Arah Perpaduan Ummah sebagai  kesinambungan kepada penganjuran Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat yang telah diadakan pada 5 dan 6 Ogos 2017 lalu di Hotel Marriott Putrajaya dan Multaqa Ilmuwan Dan Profesional Pahang  pada 19 ogos 2017 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Pengerusi MDN, Prof Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, konvensyen ini dianjurkan dengan hasrat untuk membuka ruang wacana bagi masyarakat di peringkat akar umbi  untuk menyatakan pendapat dan hasrat mereka berhubung isu-isu berkaitan perpaduan ummah.

“Justeru, penganjuran konvensyen ini serta konsensyen-konvensyen yang lepas akan menyerlahkan lagi peranan semua pihak termasuk institusi raja, pemimpin, golongan profesional dan rakyat biasa dalam menyatupadukan ummah di Malaysia,’’ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, konvensyen berkenaan bakal diadakan pada 8 Mac 2018 bertempat di Dewan Tun Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor dengan anggaran kehadiran seramai 3,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, para peserta yang disasarkan untuk konvensyen itu terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, pesara, belia, pelajar mahasiswa, wakil-wakil dari Majlis Agama Islam Negeri,  ahli-ahli akademik, pihak media, tokoh-tokoh tertentu dan individu perseorangan.

“Pada konvensyen itu nanti, para peserta akan diberikan peluang membahaskan dua titah ucapan pada konvensyen terdahulu iaitu titah Di-Raja Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak di  Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat dan titah Di-Raja Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Raja Pahang di Multaqa Ilmuan Dan Profesional Pahang,’’ katanya.

Selain itu, katanya, satu Forum Khas juga akan diadakan pada konvensyen itu dengan dipengerusikannya sendiri dan membariskan tokoh-tokoh tertentu terdiri daripada pemimpin kanan parti-parti politik.

Secara ringkasnya , Konvensyen Rakyat ini dianjurkan dengan mengambil kira rumusan Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat dan Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang yang telah menzahirkan komitmen institusi beraja dalam menegaskan agenda perpaduan ummah.

Perkara ini dizahirkan melalui titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Perak semasa merasmikan Konvensyen Pasak Negara Ogos lepas.

Baginda antara lain menegaskan, “Raja memenuhi satu keperluan perlembagaan secara simbolik–secara fungsi.

“Selaku Ketua Negara, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan–sumber keadilan, teras perpaduan–payung penyatuan; lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, berakarkan doktrin pengasingan kuasa,’’ titah baginda.

Perkara ini juga seperti yang dizahirkan ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam titah baginda:

“Bertitik tolak daripada sejarah sesungguhnya telah menunjukkan kepada kita bahawa “Agama Islam, Raja-raja Melayu dan orang-orang melayu” tidak boleh dipisahkan “ibarat aur dengan tebing, “seperti isi dengan kuku”, “bagai dakwat dengan kertas”.“Raja dan rakyat berpisah tiada” ialah perumpamaan yang dapat saya nyatakan yang menjadi kata-kata azimat. Hubungan yang terjalin ini menggambarkan Raja dan rakyat saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain, bersemayam raja di atas singgahsana sebagai memayungi rakyat serta negerinya agar sentiasa terpelihara dalam keharmonian, keamananan dan kesejahteraan.’’

Penyataan di atas menzahirkan bahawa institusi beraja merupakan pasak yang menunjangi kedaulatan, keutuhan, kestabilan dan kesejahteraan negara,  mengambil kira bahawa ia merupakan institusi utama warisan negara yang menjadi rujukan dan harapan rakyat dalam pelbagai aspek dan keadaan kehidupan.

Mesej perpaduan ini perlu disampaikan secara berterusan kepada keseluruhan rakyat bagi membina, memupuk kesedaran bahawa kepentingan perpaduan ummah adalah jaminan bagi survival dan kesejahteraan ummah.

Usaha memupuk perpaduan dalam kalangan ummah tidak boleh hanya dipandang dari perspektif politik semata-mata namun hakikatnya cita-cita perpaduan merupakan agenda utama bagi mengukuhkan ikatan kolaborasi sesama ummah dalam segenap aspek kehidupan.

Kerjasama ini dipandu oleh kesatuan kerangka berfikir keseluruhan masyarakat Islam khususnya di negara ini bagi memperkukuh peradaban Islam untuk kepentingan bersama seluruh ummah pada masa kini dan akan datang.

‘Konvensyen Rakyat : Menelusuri Akar Umbi Kearah Perpaduan Ummah’ secara lahiriahnya berharap akan menjadi landasan bagi tujuan menyatupadukan ummah dengan meletakkan Institusi Beraja sebagai payung dan kerangka asas serta utama.

Ia juga diharapakn dapat mengukuhkan persefahaman dan permuafakatan dalam kalangan umat Islam secara khusus dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *