Home » Muamalah » Perniagaan kerjaya yang mulia

Perniagaan kerjaya yang mulia

Sembilan daripada sepuluh pintu rezeki adalah melalui perniagaan.

Dari segi sejarah, masyarakat Arab kuno memang terkenal sebagai golongan pedagang yang cergas dan berjaya. Hal ini adalah disebabkan oleh faktor muka bumi mereka yang kering-kontang dan tidak berpotensi untuk dijadikan tapak pertanian komersil. Untuk mengembangkan kegiatan perniagaan, orang-orang Arab telah mengembara ke beberapa buah negara semenjak zaman awal lagi. Mereka telah menempuh perjalanan yang jauh dan sukar untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Perjalanan perniagaan

Sebagaimana yang tercatat dalam al-Quran, perjalanan rombongan perniagaan mereka sepanjang musim sejuk adalah negeri-negeri di sebelah selatan seperti Yaman dan Hadhramaut. Manakala dalam musim panas pula, mereka berniaga di negeri-negeri di sebelah utara seperti negeri Syam dan Jordan di samping beberapa buah negara lain juga.

Penglibatan dalam perniagaan

Sebelum diangkat menjadi Nabi, Rasulullah s.a.w telah melibatkan diri dalam dunia perniagaan sama ada sebagai pembantu dalam rombongan dagang Abu Talib atau ahli perdagangan yang lain. Baginda juga telah menjadi seorang tokoh perniagaan yang ulung dan unggul sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda ketika mengetuai rombongan perniagaan yang dihantar oleh Khadijah binti Khuwailid keluar Mekah.

Kejayaan perniagaan

Kerjaya baginda dalam bidang perniagaan telah berakhir setelah baginda dilantik sebagai Nabi dan Rasul kerana amanah risalah menuntut komitmen yang amat tinggi. Bagaimanapun, baginda amat berminat dalam dunia perniagaan dan baginda telah menjelaskan mengenai kedudukan kerjaya perniagaan yang disanjung tinggi dan mulia di sisi agamat Islam. Baginda telah bersabda yang bermaksud sebagaimana yang berikut:

“Sembilan daripada sepuluh pintu rezeki adalah melalui perniagaan.”

Rasulullah s.a.w juga telah bersabda yang bermaksud sebagaimana yang berikut di bawah ini:

“Seorang peniaga yang jujur dan amanah akan ditempatkan di akhirat kelak bersama-sama para nabi, orang yang benar-benar beriman, para syuhada’ dan orang-orang soleh.”

Mengikut kajian, ada lebih daripada 500 ayat al-Quran menyentuh soal perniagaan. Ayat-ayat itu telah diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. bersesuaian dengan masa dan peristiwa untuk menanamkan konsep perniagaan yang luhur. Semuanya itu adalah mengikut kaedah yang diredhai Allah s.w.t. dan disenangi oleh masyarakat dengan membasmi tatacara perniagaan yang mempunyai unsure-unsur negatif yang melibatkan aktiviti penipuan, rasuah, monopoli, kronisme, nepotisme, penindasan dan kerakusan.

Perniagaan merupakan kerjaya yang amat mulia dan dipandang tinggi dalam Islam. Dalam al-Quran ada menyebut bahawa peniaga merupakan golongan orang yang mencari kurniaan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam (Surah al-Baqarah: ayat 198) yang bermaksud sebagaimana yang berikut:

“Tidak ada apa-apa kesalahan kamu mencari kurniaan Allah daripada Tuhan kamu.”

Ayat ini diturunkan pada musim haji yang membawa maksud bahawa adalah harus berurusniaga pada waktu menunaikan ibadat haji. Dalam ayat lain pula Allah s.w.t. berfirman dalam (Surah al-Jumaah; ayat 10) yang maksudnya seperti di bawah ini:

“Maka apabila selesai solat (Jumaat), bertaburanlan kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah.”

Saidina Umar al-Khattab pernah bersabda, “Tempat yang paling aku suka menemui ajalku selain sedang berjihad adalah di tempat aku berurusniaga mencari rezeki untuk keluargaku.”

Susunan ekonomi Islam

Jelasnya, al-Quran dan al-sunnah dapat digunakan sebagai panduan dalam menyediakan susunan dan prinsip asas struktur ekonomi Islam. Dari itu akan dapat dipertingkatkan kegiatan ekonomi umat di setiap aspek dan lapangan. Para ulama dan cendekiawan Islam sentiasa berusaha melalui ijtihad dan asy-Syura untuk menyesuaikan keadaan alam sekitar dengan prinsip Islam berasaskan ruang dan garis panduan yang sedia ada. Dengan kata lain, kegiatan ekonomi hendaklah dipertingkatkan berasaskan asy-Syura. Oleh itu, apa jua bentuk dan alat kegiatan ekonomi, prinsip yang telah ditetapkan itu harus mendapat tempat yang utama di mana jua tanpa mengira tempat dan juga masa.

Untuk mempertingkatkan kegiatan ekonomi, Islam telah menghalalkan kaedah untuk mencapai dan memenuhi matlamat itu. Umat Islam bebas menjalankan kegiatan ekonomi di bawah bimbingan syariah. Namun begitu, Islam melarang sama sekali kegiatan ekonomi yang merosakkan dan melakukan perbuatan yang tidak baik. Kebebasan manusia dalam kegiatan ekonomi perlu juga dijaga berasaskan batasan dan lunas yang telah ditetapkan dalam Islam. Namun begitu, Islam memberi kebebasan seluas-luasnya dalam kegiatan ekonomi untuk diri dan kepentingan masyarakat. Semua rakyat hendaklah diberikan peluang untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi. Setiap orang berhak untuk berusaha dan memperolehi bahagian dan keperluan hidup masing-masing yang disediakan oleh Allah s.w.t.

Garis panduan dalam bidang ekonomi

Dalam ekonomi Islam dihuraikan juga tentang sejarah, hubungan dan masalah politik dan perkaitan antara ekonomi dengan masyarakat manusia. Oleh itu, dalam menyelesaikan masalah ekonomi, Islam menganjurkan dasar yang harus dilaksanakan dalam aktiviti ekonomi. Islam melihat ekonomi sebagai alat. Oleh itu program ekonomi adalah untuk memenuhi keperluan asas yang mendesak dalam berbagai-bagai lapangan kreativiti manusia.

Membangunkan ekonomi secara sihat dan adil hendaklah berlandaskan kaedah Islam demi kesejahteraan masyarakat. Dalam Islam, ada garis panduan yang diberikan untuk menyelesaikan soal moran dan akhlak yang harus dilakukan dalam bidang ekonomi. Begitu juga, persoalan hokum yang dianggap sebagai pengimbang kepada aktiviti itu hendaklah juga dijadikan garis panduan yang mesti dipatuhi sepenuhnya.

Mengikut peraturan Islam

Dari sudut syariat, segala kegiatan dan perjalanan ekonomi harus mengikut peraturan yang telah digariskan dan ditetapkan oleh Islam. Ini membawa erti bahawa kegiatan ekonomi dalam Islam adalah bersifat pengabdian diri kepada Allah s.w.t. dengan hanya mengharapkan balasan baik daripada-Nya sahaja. Jikalau setiap perbuatan baik walaupun bersifat keduniaan kalau diniatkan menurut perintah Allah s.w.t. akan dibalas dengan kebaikan di dunia dan juga di akhirat kelak.

Namun begitu, pengawasan yang lebih berkesan dapat menimbulkan kesedaran dan tanggungjawab individu itu sendiri. Ini adalah kerana hati nuraninya sentiasa dikawal oleh keteguhan dan ketebalan iman di dada. Ekonomi Islam menyeimbangkan antara kepentingan individu dan masyarakat. Ini jelas dalam system pemilikan harta dan pembahagiannya. Dalam perkara ini, Islam tidak hanya mengutamakan kepentingan masyarakat kerana akan menyebabkan individu mencari keuntungan sebanyak yang mungkin. Dengan itu, golongan peniaga akan tidak mengambil kira keadaan hidup orang lain dengan menaikkan harga barangan, monopoli, penindasan, penipuan dan sebagainya.

Dari itu, aktiviti yang tidak sihat akan melahirkan ketidakseimbangan dalam ekonomi masyarakat. Kaum pemodal bebas mencari, menghimpun keuntungan dan kejayaan sedangkan orang lain hidup terhimpit dan tertindas. Orang kaya akan bertambah kaya manakala orang miskin tidak terbela dan hidup menderita. Keadaan ini ternyata berlaku sekarang ini sebagai kesan daripada dasar ekonomi bebas yang diamalkan oleh kaum kapitalis. Ekonomi Islam berusaha memelihara kepentingan individu dan umum dalam masa yang sama.

Setiap individu bebas mencari kekayaan dengan berpandukan peraturan yang berlandaskan keislaman. Bagaimanapun, ia wajib melaksanakan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara. Pengagihan kekayaan harus dilakukan secara adil agar tidak berlegar di kalangan orang kaya sahaja. Jurang antara yang berada dengan yang tidak berada hendaklah dirapatkan. Di samping memelihara kepentingan, mereka juga menentukan matlamat dalam mewujudkan kedamaian dan kebahagiaan masyarakat itu tercapai sepenuhnya.

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *