Home » Langit Terbuka » Tabung Harapan Malaysia Mula Terima Sumbangan

Tabung Harapan Malaysia Mula Terima Sumbangan

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi menangani masalah hutang negara boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 566010626452, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, penubuhan tabung itu yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet hari ini, adalah bagi membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan rakyat secara sistematik dan telus.

“Derma dan sumbangan yang boleh dihulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Guan Eng turut merakamkan penghargaan bagi pihak kerajaan di atas keprihatinan dan segala sumbangan ikhlas rakyat Malaysia dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.

Menurutnya berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan.

“Rakyat secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada kerajaan bagi menangani isu tersebut,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri berkata terdapat ramai rakyat Malaysia sanggup memberi derma kepada kerajaan selepas mengetahui kedudukan kewangan negara dan kerajaan mengalu-alukan sikap patriotik mereka. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *