Home » Citra Yadim » YADIM anjur simposium mengenai ketatanegaraan Islam

YADIM anjur simposium mengenai ketatanegaraan Islam

Sebahagian daripada peserta yang hadir pada Simposium Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Peradaban Politik Masa Kini bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 29 Mac – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersama Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menganjur program Simposium Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Peradaban Politik Masa Kini bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Program ini diadakan dengan tujuan memberi kesedaran dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat khususnya dalam kalangan peserta mengenai asas-asas politik atau ketatanegaraan Islam bersandarkan pengamatan sejarah Islam yang panjang.

Pada simposium ini sebanyak empat kertas kerja dibentangkan oleh tokoh-tokoh terkemuka dari dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia yang membicarakan pelbagai konteks ketatanegaraan Islam secara menyeluruh.

Kertas kerja pertama bertajuk `Bahaya Pemikiran Khawarij Dalam Konteks Kenegaraan Malaysia’ oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh diikuti dengan kertas kerja kedua bertajuk `Politik Dalam Islam dan Pedoman Kepada Ummah’ oleh Mantan Menteri Agama Republik Indonesia, Prof. Dr. Haji Said Agil Husin al-Munawar .

Simposium diteruskan dengan dua lagi pembentangan yang membawa tajuk `Doktrin Politik Sunni Bingkai Kesatuan dan Keutuhan Umat di Rantau Malaya’ oleh Guru Besar Fakultas Syariah dan Ilmu Hukum, Universitas Islam Negeri (UIN) Sultan SyarifKasim, Pekan Baru, Indonesia dan `Siyasah Syar’iyyah Dalam Pranata Sosial Politik Masyarakat Melayu Malaysia’ oleh Prod Dr. H. Sudirman juga dari Fakultas Syariah dan Ilmu Hukum, Universitas Islam Negeri (UIN) Sultan Syarif Kasim.

Simposium ini akan diakhiri dengan pembentangan resolusi oleh Timbalan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Mohd Zaidi Ramli.

Para peserta program ini terdiri daripada  penjawat awam, ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan berkanun, institusi pendidikan dan badan korporat.

Simposium yang membawa tema `Pemantapan Etika Berpolitik dan Kaedah Bernegara’ menggariskan empat objektif antaranya, membina semula asas-asas ketatanegaraan Islam berdasarkan proses sejarah dan membantu meluruskan salah faham terhadap etos politik dan budaya kritik dalam konteks etika politik Islam.

Selain itu, objektif simposium ini juga adalah untuk memberi kefahaman secara menyeluruh dan pencernaan semula imej politik yang dipengaruhi oleh pelbagai herotan imej akibat tindakan radikal, fahaman sectarian dan mistik.

Selain itu, simposium ini juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dalam konteks masyarakat majmuk dan homogeneus.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *