Home » Langit Terbuka » 10 Julai tarikh lihat anak bulan Zulhijah

10 Julai tarikh lihat anak bulan Zulhijah

Kenyataan itu memaklumkan jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Zulhijah pada petang hari tersebut di 29 lokasi. - Foto MyNewsHub

KUALA LUMPUR – Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja telah menetapkan 10 Julai 2021 bersamaan 29 Zulkaedah 1442 Hijriah, sebagai tarikh untuk melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan tarikh Hari Raya Aidiladha.

 

Kenyataan itu memaklumkan, Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

 

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah (Hari Raya Qurban) yang ditetapkan melalui Radio dan Televisyen.” jelas kenyataan tersebut.

 

Kenyataan itu juga memaklumkan jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Zulhijah pada petang hari tersebut di 29 lokasi.

 

Lokasi berkenaan ialah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

 

Juga di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

 

Selain itu di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.

 

Lokasi lain yang dipilih ialah Esplanade Luak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah serta Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berinchang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.

 

Turut menjadi lokasi melihat anak bulan itu ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis. – AlHijrah Online

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *