Home » Langit Terbuka » 10 permohonan cerai sehari di Terengganu

10 permohonan cerai sehari di Terengganu

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd. Foto : Berita Harian.

KUALA TERENGGANU19 Jan. – Secara purata, sebanyak 10 permohonan cerai dikemukakan di negeri ini setiap hari.

Ia termasuk permohonan cerai taklik dan kes perceraian di luar mahkamah yang sebahagian besarnya membabitkan pasangan berumur 30 hingga 50 tahun.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata punca perceraian yang banyak direkodkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) antaranya adalah tiada persefahaman.

“Bagaimanapun, selepas diselidik barulah timbul sebab lain seperti suami tidak memberi nafkah dan curang,” katanya selepas majlis perasmian penubuhan Persatuan Pegawai Syariah Negeri ( PPSNT), di sini, malam tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri, A Latiff Awang.

Seramai 50 ahli PPSNT menghadiri majlis itu.

Beliau juga tidak menafikan media sosial juga antara faktor menyumbang berlakunya kes perceraian.

“Penggunaan media sosial terutama Facebook dan WhatsApp, selain kecanggihan gajet masa kini ada kesan buruknya.

“Jika disalah guna sememangnya memberi kesan buruk dalam institusi keluarga dan rumah tangga. Memang kita tidak nafikan banyak kes perceraian juga berpunca akibat salah guna Facebook dan WhatsApp,” katanya.

Selain itu beliau berkata, peningkatan jumlah kes perceraian saban tahun juga adalah disebabkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai hak dan kebajikan mereka.

“Kebanyakannya semakin peka dan sedar apa yang perlu dilakukan jika berlaku perceraian.

“Ia satu perkembangan yang baik kerana masyarakat sudah mula celik mengenai undang-undang atau tuntutan yang mereka boleh lakukan selepas perceraian berlaku,” katanya.

PPSNT ditubuhkan pada Jun 2017 bagi mengumpul pegawai syariah negeri, selain menjalankan aktiviti yang dapat membantu masyarakat mengenai pelbagai isu khususnya isu kekeluargaan dan undang-undang. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *