Home » Langit Terbuka » 100 orang boleh hadir solat Jumaat di Selangor

100 orang boleh hadir solat Jumaat di Selangor

Jabatan Agama Islam Selangor dalam satu pekeliling kepada masjid dan surau di seluruh negeri memaklumkan, kebenaran terbaharu itu selepas mengambil kira kadar vaksinasi Covid-19 terkini serta usaha pengekangan wabak. - Foto FB

SHAH ALAM – Seramai 100 jemaah dibenarkan hadir ke masjid di seluruh Selangor bagi menunaikan solat Jumaat susulan penurunan kes harian jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan sekitar 4,000 sehari dan ke bawah.

Malah, bagi solat fardu lima waktu, seramai 50 jemaah dibenarkan hadir ke masjid dan surau pada satu-satu masa dan semua jumlah kehadiran itu adalah termasuk pegawai pentadbir serta ahli jawatan kuasa.

Bagaimanapun, bagi surau yang dibenar menunaikan solat Jumaat dihadkan kepada 50 orang jemaah sahaja.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu pekeliling kepada masjid dan surau di seluruh negeri memaklumkan, kebenaran itu selepas mengambil kira kadar vaksinasi Covid-19 terkini serta usaha pengekangan wabak.

“Langkah-langkah pencegahan yang agresif oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri khususnya program vaksinasi yang mencapai 69 peratus daripada jumlah keseluruhan yang mendaftar dalam aplikasi MySejahtera mengurangkan kemasukan dan kadar kematian pesakit Covid-19 di kebanyakan hospital.

“Mengambil kira penurunan kes, peningkatan kadar penerima vaksinasi lengkap dan beberapa indikator lain yang signifikan, JAIS membuat ketetapan baharu bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid, surau dan musolla seluruh negeri,” katanya.

Untuk makluman, Selangor masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun beberapa kelonggaran diberikan terutama bagi penduduk yang menerima vaksin Covid-19 lengkap dua dos.

Susulan kelonggaran itu, orang ramai yang sudah menerima vaksin lengkap dibenarkan untuk makan di restoran atau warung, melakukan aktiviti riadah dan rekreasi serta berkelah. – UTUSAN ONLINE

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *