Home » Citra Yadim » 1,000 unit PPE untuk petugas barisan hadapan dari YADIM

1,000 unit PPE untuk petugas barisan hadapan dari YADIM

SHAH ALAM – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia menerusi kerjasama dengan akhbar Sinar Harian Kumpulan Karangkraft menyumbangkan kira kira 1,000 unit Pakaian Perlindungan Peribadi (PPE) untuk petugas barisan hadapan di sekitar Lembah Klang.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada fasa pertama usaha badan dakwah ini menyantuni empat golongan yang terjejas dengan musibah Covid-19 iaitu pelajar institusi pengajian tinggi, asnaf, keluarga ahli Tabligh yang positif Covid-19 serta petugas barisan hadapan.

Simbolik bagi sumbangan tersebut disempurnakan hari ini (13 April) di ibu pejabat Kumpulan Karangkraft di sini.

Mewakili YADIM ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, manakala Sinar Harian diwakili oleh Pengerusi Kumpulan Karangkraft, Datuk Husammudin Yaacub, Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharum Mahusin, Pengurus Kanan Tugas Tugas Khas Kumpulan Karangkraft, Hashim Anang dan Ketua Projek Tabung Sinar Covid-19, Auzani Fickry.

Tuan Kamarul Arief dalam ucapan ringkasnya berkata, kerjasama antara YADIM dengan Sinar Harian telah lama dirancang dan pihaknya berhasrat meneruskan lagi program seperti ini pada masa akan datang.

“YADIM melihat keperluan untuk meyumbang kepada petugas barisan hadapan dalam usaha menentang Covid-19 yang melanda negara ketika ini. Sinar Harian menerusi Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar terbukti satu platform yang berjaya dalam hal ini.

“Jadi adalah lebih baik kita menjalin kerjasama, berbanding kita bermula sendiri, lagipun tabung ini terbukti berkesan dan telus mengadakan gerak kerjanya,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis simbolik penyerahan tersebut.

Menurut Tuan Kamarul lagi, usaha YADIM ini selaras dengan seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Datuk Dr Zulkifki Mohamad Al Bakri yang mahu setiap agensi di bawah beliau untuk sama sama menyantuni golongan yang terkesan dengan musibah Covid-19.

Sementara itu Husammudin dalam ucapannya pula, merakamkan penghargaan atas keprihatinan YADIM, yang sudi bekerjasama dengan pihaknya dalam usaha membantu golongan yang terkesan dengan Covid-19.

“Sejak kita lancarkan tabung ini, YADIM antara penyumbang yang terbesar, jadi saya ucap terima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Tahniah juga pada kakitangan yang bertungkus lumus jayakan tabung ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *