Home » Langit Terbuka » COVID-19: Sultan Selangor titah tangguh solat jemaah di masjid hingga akhir Mei

COVID-19: Sultan Selangor titah tangguh solat jemaah di masjid hingga akhir Mei

Sultan Selangor bertitah, setiap rakyat perlu lebih serius dalam usaha mencegah jangkitan Covid-19 dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial. - Foto Malaysia.Travel

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat jemaah dan aktiviti ceramah serta kuliah di semua masjid dan surau di negeri itu dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata walaupun berat hati, titah baginda itu adalah demi kesejahteraan rakyat di Selangor.

“Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap 6.5 juta penduduk Selangor yang mungkin terdedah kepada jangkitan wabak ini sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.

“Justeru, baginda menitahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

“Namun demikian, jika wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal, maka satu arahan baharu akan dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin juga bertitah supaya solat Jumaat diganti dengan solat Zuhur dan solat fardu serta solat sunat tarawih pada Ramadan tahun ini dilakukan di rumah masing-masing.

“Setiap rakyat perlu lebih serius dalam usaha mencegah jangkitan wabak ini dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Patuhi peraturan dan arahan kerajaan serta ikuti garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Baginda menegaskan adalah sangat penting supaya semua perkara itu dipatuhi bagi mengelak rakyat daripada berhimpun atau berkumpul yang boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor turut berharap tidak ada lagi rakyat negeri itu akan dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Mohamad Munir berkata, sejak akhir ini, baginda dukacita dengan penyebaran berita palsu dan video palsu berkaitan wabak itu yang semakin menular.

“Baginda juga mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka berita palsu yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

“Baginda berharap rakyat tidak mudah mempercayai dan hendaklah menyemak terlebih dahulu kesahihan setiap berita yang diterima di media sosial,” katanya.

Katanya, Sultan Selangor turut meminta rakyat memperbanyakkan doa supaya negeri itu dijauhi daripada wabak penyakit dan bala bencana yang boleh menyebabkan kematian.

“Baginda mengucapkan selamat menyambut Ramadan 1441 Hijrah dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam dan semoga semua amal ibadat yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *