Home » Citra Yadim » 11 IPT, institusi pondok tandatangani MoU dengan YADIM.

11 IPT, institusi pondok tandatangani MoU dengan YADIM.

PUTRAJAYA – Sebanyak 11 institusi pengajian tinggi dan satu institusi pondok menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 24 September.

Upacara bersejarah ini disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Dr Noraini Ahmad dalam satu majlis di sini.

Hadir sama ialah Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Naib-Naib Canselor mewakili universiti masing masing, pengurusan kanan Kementerian Pengajian Tinggi serta wakil institusi pondok.

Menerusi MoU berkenaan, YADIM akan bekerjasama dengan universiti universiti dan institusi pondok berkenaan dalam bidang seperti penyelidikan, penerbitan, media, kepimpinan mahasiswa, khidmat masyarakat, sukarelawan, pembangunan bakat, kebajikan dan sebagainya.

Dato’ Dr Noraini dalam ucapannya berkata, inisiatif YADIM ini selaras hasrat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan bahawa universiti perlu menjadi sebahagian daripada komponen ekosistem masyarakat serta memberi pengukuhan kepada masyarakat setempat, malahan dunia.

“Saya melihat majlis anjuran YADIM pada hari ini sebagai suatu kesungguhan daripada sebuah institusi dakwah yang bernaung di bawah agensi kerajaan untuk melibatkan institut pengajian tinggi dalam usaha memperkembangkan syiar Islam melalui penyelidikan-penyelidikan dan penghasilan akademik.

“Ini secara langsung akan menyediakan platform yang dapat dioptimumkan oleh pihak-pihak yang terlibat bagi tujuan penyebaran maklumat, perkongsian ilmu dan kepakaran dalam lingkup capaian yang lebih luas lagi,” ujarnya.

Ustaz Nasrudin pula berkata, MoU ini akan menjadikan YADIM dan rakan strategiknya proaktif dalam menjalankan penyelidikan berorentasikan dakwah bagi perancangan dan pembangunan dakwah itu sendiri, selain berperanan sebagai wadah bagi mengumpulkan kepakaran para akademik untuk pembangunan dakwah dan modal insan.

Universiti dan institusi pondok yang terlibat menandatangani MoU berkenaan ialah Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah.

Turut sama ialah Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Multimedia Universiti, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur serta Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *