Home » Citra Yadim » 20 000 turut serta meraikan Maulid di Shah Alam

20 000 turut serta meraikan Maulid di Shah Alam

SHAH ALAM 28 Jan. – Dianggarkan seramai 20,000 umat Islam berhimpun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini  bagi menyambut Maulidur Rasul SAW dan Haul Al-Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani RA, 2018M/1439H.

Program berkenaan adalah kolaborasi di antara pelbagai pihak termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Amanah Al-Wariseen dan Darul Jailani International.

Program ini adalah edisi yang ke-15 dan mendapat kerjasama daripada Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Majlis Ta’lim Darul Murtadza (MTDM), Yayasan Al-Jenderami (YAJ), Yayasan Restu, Pusat Pengajian Ba’alawi Kuala Lumpur, IKIM FM dan TV Al-Hijrah.

Majlis sambutan ini telah berjaya membawa pengunjung dari seluruh dunia melalui kehadiran mereka di Malaysia dan juga melalui saluran media secara “livestreaming” di negara masing-masing. Tetamu-tetamu yang hadir datangnya dari dalam dan luar negara seperti Singapura, Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Sri Lanka, Mesir, Jordan, Yemen, Arab Saudi, Sudan, Turki, Afrika Selatan, Morocco, Nigeria, Iraq, Kenya, Jerman,Canada, Australia, New Zealand, China dan Amerika Syarikat.

Menariknya pada majlis kali ini, buat julung-julung kalinya diadakan di luar Wilayah Persekutuan, iaitu di Masjid Negeri Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Sebelum ini program seumpama ini telah diadakan dengan jayanya di Pusat Islam Kuala Lumpur, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Sambutan kali ini juga sangat padat dengan pelbagai program bermula dengan majlis meraikan para ulama’ di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor pada 25 Januari 2018 dan pada hari Sabtu, 27 Januari 2018 di Shah Alam.

Program di Shah Alambermula seawal pukul 10 pagi hingga 2 petang dengan Forum Rakyat 3 Bangsa dengan tajuk “Mengenali Rasulullah SAW, Mengenali Islam”  dan kemudian pada sebelah petangnya program dimulakan dengan perarakan ulama dari pintu diraja ke dewan solat utama.

Majlis kemuncak Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Haul Al-sheikh Abdul Qadir Al-Jailani RA adalah penyampaian ceramah oleh ulama dan ilmuwan islam yang terdiri daripada:

  1. Al-Sheikh Al-Sayyid Afeefuddin Al-Jailani – pengerusi Amanah Al-Wariseen, Kuala Lumpur Malaysia
  2. Al-Sheikh Dr. Muhammad Bin Yahya Al-Ninowy- Amerika Syarikat
  3. Al-Habib Umar Bin Hamid Al-Jailani- Mekah
  4. Al-Habib Hassan Al-Attas – Singapura
  5. Al- Habib Ali Zaenal Abidin Alhamid – Malaysia

Susulan daripada majlis sambutan Maulidur Rasul ini juga akan diikuti dengan satu Konvensyen Antarabangsa di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur pada hari Ahad, 28 Januari 2018 bermula pada 10 pagi hingga 2:00 petang.

Sambutan Maulidur Rasul SAW yang dianjurkan oleh Amanah Al-Wariseen meletakan Malaysia di pentas dunia sebaris dengan negara negara islam yang mengamalkan wasatiyah (kesederhanaan) dan menolak fahaman ekstrimisme.

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *