Home » Citra Yadim » NGO Islam pikul amanah besar

NGO Islam pikul amanah besar

Dr Yusri Mohamad, Yang Dipertua Yadim

SHAH ALAM – Tugas Badan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) dalam membangunkan ummah merupakan satu amanah dalam meninggikan syiar Islam dalam masyarakat. Kelebihan NGO Islam sebagai badan berkecuali dalam menggerakkan amar makruf nahi mungkar menjadikan ia sebagai sebuah badan yang tidak terikat dengan kerenah birokrasi dan lebih fleksibel dalam gerakan dakwah.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Bantuan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) baru-baru ini.

Majlis yang telah berlangsung di Dewan Muktamar JAKESS Jabatan Kehakiman Syariah Selangor ini melibatkan sumbangan kepada 75 Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) yang berdaftar di bawah MAIS. Antaranya adalah Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Persatuan Ulama Malaysia.

Semua NGO Islam menerima sumbangan dana antara RM10,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada aktiviti dakwah yang akan dijalankan sepanjang tahun.

Tambah beliau, tugas utama NGO Islam adalah menyampaikan mesej dakwah baik kepada umat Islam mahupun kepada yang bukan Islam. Dakwah ini amat luas dan tidak tertakluk kepada mana-mana fahaman politik atau ideologi.

Beliau menekankan bahawa elemen paling penting yang ada pada NGO-NGO Islam ini adalah elemen ikhlas dan pengorbanan yang membawa kepada semangat kesukarelaan.

Elemen ini amat penting dalam menggerakkan dan menyuburkan gerakan dakwah di negara ini walaupun tidak dinafikan cabaran yang dihadapi pada hari ini bukanlah sedikit. Masih banyak isu yang masih menjadi perbincangan di kalangan masyarakat seperti isu gelandangan dan dakwah kepada non muslim.

Beliau turut mengalu-alukan NGO-NGO Islam yang berminat untuk melaksanakan program-program dakwah bersama Yadim pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *